Dalam satu surat terbuka kepada rakyat Singapura, Hsien Loong, yang juga Setiausaha Agung Parti Tindakan Rakyat (PAP) mengucapkan terima kasih kepada rakyat atas sokongan kuat mereka kepada PAP, dan berkata, keputusan itu 'mencerminkan kehendak rakyat’.

“Parti-parti yang mencadangkan untuk mengurangkan bajet pertahanan atau menyediakan pen­jagaan kesihatan secara percuma dikalahkan secara muktamad.

“Ceramah pilihan raya kita mungkin kurang menarik berban­ding pembangkang, namun anda memahami apa yang menjadi pertaruhan dan berdiri bersama kami,’’ kata beliau, sebagaimana dilapor­kan portal Channel News Asia.

Parti kerajaan itu mendapat 69.86 peratus undi popular, me­ningkat hampir 10 peratus daripada pilihan raya 2011 dan memenangi 83 daripada 89 kerusi yang dipertandingkan.

“Pada 2011, saya berjanji kepada anda bahawa kita akan menangani isu-isu yang menjadi kebimbangan anda seperti perumahan, kesihatan, pengangkutan. Kami (akan) lakukannya,’’ kata Hsien Loong.

Katanya, dengan kemenangan itu, kerajaan akan meneruskan 'langkah baharu ke hadapan’ de­ngan memberi fokus inklusif kepada keperluan sosial, terutama­nya untuk warga emas dan orang kurang upaya serta melibatkan banyak penyertaan rakyat.

“Kerajaan juga mendengar kehendak pelbagai suara dalam politik di Singapura dan akan 'menyahutnya sambil berpegang teguh kepada prinsip-prinsip asas,’’ katanya.

Beliau percaya kemenangan itu akan meningkatkan lagi keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap Singapura dan masa hadapan negara ini.