Timbalan Ketua Polis Negara, Jeneral Srivara Rangsibrahmanakul berkata, dalam kejadian pada pukul 11 pagi waktu tempatan di Hospital Pramongkutklao itu, mangsa yang cedera adalah akibat terkena serpihan dan kaca pecah.

Beliau yang ditemui di tempat kejadian berkata: “Pihak polis menemukan sebahagian bahan bom seperti kabel dan wayar, tetapi belum dapat menentukan jenis bomnya.”

Katanya, anggota pemusnah bom masih mencari bahan bukti.

Srivara menambah, pihak ber­kuasa masih menyiasat motif pe­ngeboman dan enggan mengulas tentang spekulasi bahawa keja­dian mempunyai kaitan dengan ulang tahun ketiga rampasan kuasa pihak tentera ke atas kerajaan awam.

Kira-kira tiga tahun lalu, Majlis Kebangsaan bagi Keamanan dan Ketenteraman (NCPO) mengambil alih kuasa selepas rampasan kuasa dan membentuk kerajaan pimpinan tentera yang diketuai Perdana Menteri, Prayut Chan-o-Cha.

Srivara yang mengutuk keja­dian itu dan pelakunya berkata, pihaknya telah memaklumkan ke­jadian tersebut kepada Timbalan Perdana Menteri, Jeneral Prawit Wongsuwon yang juga Menteri Pertahanan.

Prawit turut bertanggungja­wab dalam soal keselamatan negara.

Sementara itu, Pengarah hospital berkenaan, Leftenan Jeneral Sabot Khiewkaji memberitahu, letupan berlaku di depan bilik farmasi di hospital itu yang turut dibuka kepada orang awam.

Ketua pasukan pengendali an­camam bom polis, Kolonel Kam­thorn Quicharoen pula berkata, letupan disyaki berpunca daripada sebutir bom.

Pada 5 April lalu, sebuah bom paip meletup di depan Bangunan Loteri Kerajaan di Jalan Ratcha­damnern yang menyebabkan dua orang cedera dan minggu lalu, sebuah lagi bom paip meletup berdekatan bangunan Teater Kebangsaan di Sanam Luang yang mencederakan dua orang.

Tiada pihak yang tampil me­ngaku bertanggungjawab ke atas letupan terbaharu itu. – BERNAMA