Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Universiti College London terhadap lebih 800,000 orang, hidup sendiri tanpa pasangan boleh meningkatkan risiko menghidap Alzheimer sehingga 40 peratus.

Manakala menjadi balu selepas lama ber­kahwin juga mem­bantu menurun­kan peratusan menjadi nyanyuk sehingga 20 pera­tus.

Ketua penyelidik, Andrew Sommerland berkata, terdapat banyak sumber dan kajian yang menunjukkan faedah perkahwinan terhadap tahap kesihatan masyarakat.

“Kami menjangkakan risiko nyanyuk adalah lebih tinggi kepada masyarakat yang tidak berkahwin, malah warga emas yang sudah bercerai juga boleh bebas daripada penyakit itu sama seperti faedah berkahwin,” katanya.

Bagi melakukan kajian yang lebih terperinci, Sommerland dan pasukannya menyelidik da­ta daripada 15 kajian terdahulu melibatkan 812,000 orang daripada berpuluh-puluh negara.

Majoritinya dari Sweden dan beberapa negara lain se­perti Perancis, Jerman, China, Jepun, Amerika Syarikat dan Brazil.

Hasil kajian yang diterbitkan dalam Jurnal Neurologi, Neuosurgeri dan Psikiatri itu juga menjelaskan bahawa kajian yang dilakukan bukan seperti eksperimen sains yang melibatkan tikus uji kaji.

Sebaliknya, kajian tersebut lebih menggambarkan mengenai gaya hidup yang diamalkan bersama pasangan selepas berkahwin.

“Kajian ini juga menjelaskan tentang gaya hidup sihat, menjaga kesihatan fizikal, diet dan bersenam, selain bersosial bersama pasangan mampu meningkatkan tahap kesihatan mereka,” ujar Sommerland.

Sementara itu, masyarakat yang menjadi balu akibat kematian pasangan selepas ber­kahwin berisiko menghidap Alzheimer kerana berdepan dengan kemurungan dan kesedihan akibat kehilangan teman hidup. – AFP