Bukan sahaja pihak tentera yang melakukan je­­­nayah malah pe­mimpin negara Myanmar perlu diheret sama ke mahkamah berkenaan agar mem­beri pengajaran kepada mereka yang terus melakonkan aksi ‘tidak bersalah’, degil dan angkuh untuk menidakkan perbuatan anggota tenteranya terhadap etnik tersebut.

Baru-baru ini tentera negara itu mengumumkan bahawa semua anggota tenteranya ‘bersih’ daripada semua tuduhan berhubung kempen keganasan yang dilakukannya di negeri Rakhine.

Penasihat Keselamatan Kebangsaan Myanmar, Thaung Tun pula turut mempertahankan tindakan anggota tentera­nya dengan menyatakan jenayah tersebut tidak berlaku sebaliknya semua bukti yang dikumpulkan adalah tuduhan tidak berasas.

Tanpa rasa bersalah beliau berulang kali mendesak bukti berlakunya penghapusan etnik itu dikemukakan namun pada masa yang sama pihaknya sendiri enggan membenarkan pertubuhan antarabangsa mema­suki wilayah Rakhine untuk menyiasat krisis itu.

Kenyataan Myanmar itu jelas bertentangan dengan kenyataan Ketua Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Zeid Ra’ad al-Hussein yang baru-baru ini mendedahkan wujudnya tindakan secara sengaja oleh pihak berkuasa negara itu menghapuskan bukti jenayah yang dilakukan terhadap etnik tersebut.

Ini berikutan penemuan ba­nyak kubur besar yang mengandungi mayat etnik Rohingya di beberapa kawasan terbabit.

Kata beliau, penghapusan etnik itu yang bermula Ogos lalu masih berterusan sehingga sekarang kerana masih ramai etnik Islam Rohingya yang melarikan diri beramai-ramai ke Bangladesh.

“Mangsa dilaporkan dibunuh, dirogol, diseksa dan diculik oleh anggota keselamatan dan kumpulan militan selain cubaan se­ngaja memaksa etnik itu meninggalkan kediaman masing-masing dengan membiarkan mereka ke­buluran manakala para pegawai telah menutup laluan untuk mereka mendapatkan bekalan ma­kanan,” tegas Zeid.

Malah katanya, PBB telah menerima laporan bahawa pihak berkuasa negara itu telah me­nyerahkan tanah milik etnik Rohingya kepada etnik lain untuk menggantikan mereka.

Penolong Setiausaha Agung Hak Asasi Manusia PBB, Andrew Gilmour turut mendesak masyarakat dunia terus menekan Myanmar bagi menghalang kekejaman berterusan terhadap etnik tersebut.

Beliau yang berkunjung ke Cox’s Bazar, Bangladesh baru-baru ini mendedahkan, pihak berkuasa Myanmar turut me­rampas kawasan pertanian etnik Rohingya manakala haiwan ternakan dicuri atau dibunuh.

Di beberapa kawasan, etnik berkenaan tidak dibenarkan meninggalkan kediaman ma­sing-masing bagi menghalang mereka pergi bekerja dan membeli makanan.

“Situasi aman jelas tidak wujud di Rakhine bagi memboleh­kan etnik Rohingya pulang ke Myanmar dengan selamat,” katanya.

Ini sekali gus membenarkan kenyataan Menteri Kanan Bangladesh, Abul Maal Abdul Muhith yang menggelar kerajaan Myanmar sebagai ‘syaitan’, ‘penyangak’ dan tidak boleh dipercayai berhubung isu penghantaran pu­lang etnik berkenaan.

Yanghee Lee yang merupakan penyiasat bebas hak asasi manusia PBB di Myanmar turut mene­gaskan banyak bukti yang telah dikumpulkan bagi menyokong berlakunya penghapusan etnik dan pembunuhan beramai-ramai terhadap etnik Rohingya.

Lee yang kini dihalang oleh kerajaan Myanmar untuk me­ngunjungi negara itu mendesak agar barisan pemimpin kerajaan berkenaan dipertanggungjawabkan terhadap jenayah tersebut kerana tidak bertindak untuk menghentikannya.

Kumpulan misi pencarian fak­ta yang ketuai bekas Peguam Negara Indonesia, Marzuki Da­rus­man dijangka mendedahkan penemuan penting tentang kekejaman Myanmar terhadap etnik Rohingya hari ini.

Justeru penemuan terbaharu itu perlu menjadi ‘senjata’ paling kuat yang mampu merobohkan benteng keangkuhan Myanmar.