Hampir 400,000 etnik Islam Rohingya dari barat Myanmar memasuki negara ini sejak 25 Ogos lalu bagi melarikan diri daripada penindasan kerajaan negara itu yang disifatkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai me­lakukan ‘penghapusan etnik’.

Bangladesh mendakwa dron dan helikopter Myanmar telah menceroboh ruang udara Bangladesh sebanyak tiga kali iaitu pada Ahad, Selasa dan Khamis lalu dan telah memanggil pegawai kedutaan Myanmar di negara ini untuk menyatakan bantahan.

“Bangladesh amat memandang berat tindakan provokasi berulang kali ini dan menuntut Myanmar mengambil tindakan segera bagi memastikan pencerobohan sedemikian tidak lagi berlaku, tindakan provokasi ini boleh membawa kepada akibat yang tidak wajar,” demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh kerajaan negara ini.

Seorang jurucakap kerajaan Myanmar, Zaw Htya mendakwa pihak­nya tidak mendapat sebarang maklumat tentang insi­den berkenaan dan negara itu telah menafikan tuduhan yang pernah dibuat sebelum ini.

Sementara itu, Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina akan merayu bantuan daripada negara dunia ketika perhimpunan agung PBB agar dunia untuk membantu negaranya menangani krisis Rohingya yang semakin buruk.

Hasina dikatakan akan meminta tekanan lebih kuat dikenakan terhadap Myanmar pada perhimpunan itu malah kerajaannya telah memanggil duta negara berkenaan sebanyak tiga kali bagi menyatakan bantahan terhadap tindakan mereka terhadap etnik Rohingya.

“Beliau akan menuntut ke­ganasan dihentikan segera di wilayah Rakhine dan meminta Setiausaha Agung PBB supaya menghantar misi untuk mendapatkan fakta sebenar ke Rakhine,’’ kata jurucakap Perdana Menteri, Nazurl Islam kepada AFP.

Hasina juga katanya akan meminta masyarakat dunia dan PBB supaya Myanmar mengambil kembali pelarian Rohingya yang melarikan diri ke Bangladesh.

Dalam pada itu, Bangladesh akan membina 14,000 buah tempat perlindungan baharu bagi menempatkan beratus-ratus ribu etnik Rohingya yang kini memasang khemah di tepi-tepi jalan, padang dan atas bukit.

Pihak berkuasa negara ini memaklumkan, sebuah khemah besar akan dibina di ka­wasan seluas 800 hektar ber­hampiran kem pelarian Rohingya, Kutupalong di wilayah Cox’s Bazar yang bersempadan dengan Myan­mar.

Setiausaha Pengurusan Bencana Alam, Shah Kamal berkata, kerajaannya telah memutuskan untuk membina 14,000 tempat perlindungan untuk 400,000 pelarian berkenaan.

Agensi kebajikan sosial negara ini akan menjaga kebajikan kanak-kanak Rohingya yang kehilangan ibu bapa dalam keganasan tersebut atau yang tiba di Bangladesh tanpa penjaga.

Pada masa yang sama, seorang pejuang hak asasi manusia, Nur Khan Liton mengecam kerajaan Bangladesh yang tidak menyediakan pengurusan bantuan yang sempurna menyebabkan tercetusnya pergaduhan setiap kali trak bantuan tiba di kem pelarian. – Reuters/AFP