Guterres ketika berucap pada pembukaan Perhimpunan Agung PBB berkata, beliau mengambil kira janji Suu Kyi untuk mematuhi cadangan dalam laporan yang dibuat oleh bekas ketua PBB, Kofi Annan untuk memberikan kerak­yatan kepada penduduk Rohingya.

Beliau berkata: “Saya ingin jelaskan di sini, pihak berkuasa di Myanmar harus menamatkan operasi tenteranya dan membenarkan akses sepenuhnya bantuan kemanusiaan.”

Sebelum ini, Pertubuhan Amnesty International mendakwa Suu Kyi ‘tidak mempedulikan fakta sebenar’ keganasan di wilayah Rakhine apabila gagal mengutuk tindakan yang dilakukan tenteranya.

Pertubuhan itu menegaskan walaupun Suu Kyi buat pertama kalinya hari ini membuat kenya­taan terbuka me­lalui televisyen berhubung krisis Rohingya tetapi ucapannya bercampur baur de­ngan pembohongan dan me­nyalahkan pihak lain.

Pertubuhan hak asasi manusia itu juga mengecam pemimpin wanita tersebut yang masih ‘mendiamkan diri terhadap peranan pasukan keselamatan’ yang didakwa terlibat dalam kempen penghapusan etnik.

Selain itu, Amnesty International berkenaan mengkritik pelawaan Suu Kyi kepada pemerhati antarabangsa ke Myanmar untuk menilai sendiri permasalahan di wilayah tersebut sedangkan pada masa yang sama kerajaan negara itu menyekat misi PBB untuk menyiasat tindakan pihak tentera di Rakhine.

“Suu Kyi mendakwa kerajaannya ‘tidak gentar dengan pemantauan antarabangsa’..tetapi jika be­nar Myanmar tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan maka negara itu mesti membenarkan penyiasat PBB masuk ke negaranya termasuk wilayah Rakhine,’’ tegas pertubuhan itu.

Melalui ucapan selama 30 minit itu Suu Kyi turut berikrar untuk membawa pihak yang mencetuskan kekacauan ke muka pengadilan dan menerima kembali 410,000 pelarian etnik Rohingya yang melarikan diri akibat keganasan di kampung halaman mereka.

Namun beliau tidak memberi penyelesaian konkrit untuk menghentikan keganasan yang digelar oleh PBB sebagai penghapusan etnik.

“Mereka yang disahkan sebagai pelarian akan ‘diterima tanpa sebarang masalah dan jaminan sepenuhnya terhadap keselamatan dan penghantaran bantuan kemanusiaan,’’ ujar Suu Kyi ketika penduduk Rohingya bakal berdepan kesukaran untuk membuat pengesahan tanpa memiliki apa-apa dokumen kerana terpaksa melarikan diri sehelai sepinggang dan rumah mereka dibakar.

Oleh itu, sukar untuk dinyatakan jumlah sebenar etnik Ro­hingya yang layak untuk kembali ke Myan­mar.

Sementara itu, Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina tidak berharap bantuan dari Amerika Syarikat (AS) berhubung krisis Rohingya kerana Presiden Donald Trump telah memberi pendirian yang jelas terhadap isu itu.

Hasina berkata, beliau bertemu Trump semasa menghadiri persidangan agung PBB di New York hari ini dan mereka sempat berbual selama beberapa minit.

“Beliau (Trump) hanya bertanya saya bagaimana Bangladesh? Saya jawab semuanya baik kecuali masalah kami tentang pelarian dari Myanmar tetapi beliau tidak memberi sebarang ulasan tentang pela­rian ber­kenaan,’’ katanya.

Terdahulu, Britain yang mewa­kili negara-negara Eropah memberi amaran kepada Myanmar bahawa negara itu akan dikenakan tindakan sewajarnya jika Suu Kyi masih tidak menamatkan kempen keganasan terhadap etnik Ro­hingya.

Beberapa jam sebelum Suu Kyi membuat kenyataan pertamanya berhubung isu Rohingya, Setia­usaha Luar Britain, Boris Johnson yang menghadiri perhimpunan agung PBB telah mengadakan mesyuarat tentang krisis itu. Turut hadir pada mesyuarat berke­naan ialah Duta AS, Nikki Haley, Timbalan Menteri Luar Myanmar, Bangladesh, Australia, Kanada, Denmark, Indonesia, Sweden dan Turki. – Agensi

“Keganasan di wilayah Rakhine telah menjejaskan imej Myanmar oleh itu jangan terkejut jika Myanmar mendapati negaranya dipantau oleh pihak antarabangsa dan dalam agenda Majlis Ke­selamatan,’’ katanya. – Agensi