Sehingga kini, hampir 125,000 orang pelarian itu dilapor melarikan diri ke Bangladesh dan angka korban penduduk Rohingya dikatakan berjumlah 3,000 orang.

Terkini, kira-kira 140 buah kampung etnik Rohingya di daerah Maungdaw, Buthidaung dan Rathedaung di Rakhine dibakar tentera Myanmar.

Menerusi rakaman satelit yang diperoleh CNN dari kumpulan Human Right Watch pada 31 Ogos lalu, mereka merakamkan kira-kira 700 bangunan dibakar di Kampung Chein Khar Li atau bersamaan 99 peratus kampung tersebut.

Menteri Luar Indonesia, Retno Matsudi yang mengadakan pertemuan dengan pemimpin Myanmar Aung San Suu Kyi dan Ketua Tentera Myanmar, Min Aung Hlaing hari ini mendesak Yangon supaya menghentikan pertumpahan darah di Rakhine.

“Pihak berkuasa keselamatan perlu segera menghentikan sebarang bentuk keganasan di Rak­hine selain menyediakan bantuan kemanusiaan dan bantuan pembangunan bagi tempoh jangka pendek dan jangka panjang,” katanya di ibu negara Myanmar.

Keganasan di Rakhine tercetus pada 25 Ogos lalu apabila kumpulan pejuang Rohingya, Tentera Pembebasan Rohingya Arakan (ARSA) mula bertindak balas terhadap penindasan dan kekejaman tentera Myanmar selama ini dengan menyerang pos polis dan pangkalan tentera.

Pertempuran antara kedua-dua pihak menyebabkan penduduk Rohingya di Rakhine me­nyelamatkan diri secara beramai-ramai ke Bangladesh.

Kerajaan Myanmar yang setakat ini menyebabkan lebih 400 penduduk Ro­hingya dibunuh mendakwa mereka me­lancarkan operasi ketente­raan yang sah ke atas ‘pengganas’ yang men­yerang kedudukan pihak berkuasa sejak bulan Oktober lalu.

Bagaimanapun, pemerhati hak asasi manusia dan etnik Ro­hingya yang berjaya melarikan diri ke Bangladesh mendakwa tentera kerajaan cuba mengusir keluar penduduk Rohingya dengan membakar kediaman penduduk dan membunuh mereka.

Sementara itu, Penasihat Po­li­­tik kepada Perdana Menteri Bangladesh, H.T. Imam berkata, negara-negara ASEAN dijangka akan menyertai kempen memaksa Myan­mar menghentikan keganasan ke atas Rohingya selepas mengetuai misi diplomatik ke atas Yangon.

“Jika tindakan memberikan tekanan ke atas Myanmar dite­ruskan oleh negara ASEAN dan juga India, ia agak baik,” katanya.

Perdana Menteri India, Na­rendra Modi yang mengadakan lawatan ke Myanmar hari ini dijangka meningkatkan teka­nan ke atas Myanmar supaya menghentikan keganasan di Rak­hine.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Bebas (IPHRC) dari Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengecam hebat pencabulan hak asasi kemanusiaan ke atas etnik Islam Rohinga di Rakhine, Myanmar.

IPHRC sehu­­bungan itu meng­gesa ke­­semua negara OIC terutama­nya negara berjiran menggesa Myanmar melaksanakan tanggungjawabnya mempromosikan dan melindungi hak asasi manusia bagi kaum minoriti Ro­hingya selain menyuarakan kebimbangan mereka menerusi forum antarabangsa termasuk Majlis Hak Asasi Manusia dan Majlis Ke­selamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). – REUTERS/AGENSI