Dalam pembunuhan kejam yang turut membabitkan arak dan dadah, Zahid Naseem, 49, telah membelasah Christina Abbotts 13 kali di belakang kepala dengan alu lesung seramik Mei tahun lalu. Mangsa meninggal dunia pada hari jadi ke-29 di sebuah flat di Crawley, West Sussex, England.

Jururunding pelaburan bebas yang berpendapatan RM1.34 juta setahun itu mendakwa bertindak demikian bagi mempertahankan diri kerana beranggapan dia sedang dicekik sehingga mati ketika mengadakan hubungan seks.

Bagaimanapun, juri di Mahkamah Tinggi Lewes tidak menerima pembelaan tertuduh dan mendapati lelaki itu bersalah selepas berbincang selama empat jam sebelum dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup yang turut membawa hukuman penjara minimum 19 tahun.

Sewaktu perbicaraan, polis ditunjukkan kepada juri rakaman video ketika serbuan di flat berkenaan yang memaparkan lelaki berkenaan sedang tidur dalam keadaan separuh bogel.

Naseem ketika itu sedang berbaring di atas sofa dengan hanya memakai jubah santai sementara Christina yang berasal dari Stourbridge, West Midlands terbaring kaku di bilik sebelah. Wanita terbabit ketika itu sedang menjaga flat berkenaan yang merupakan milik rakannya.

Sewaktu perbicaraan, juri dimaklumkan mangsa mati kira-kira 12 jam sebelum ditemukan selepas gagal menghadirkan diri pada parti yang diadakan untuknya. Christina digambarkan seperti seorang sosialit yang sering menganjurkan parti di London dan bergaul dengan golongan atasan.

Keluarganya percaya bahawa mangsa yang bekerja dalam bidang teknologi maklumat, mengiklankan ‘perkhidmatannya’ di laman sesawang lucah AdultWork.com dengan nama samaran Tilly Pexton.

Dia telah beberapa kali bertemu dengan Naseem sewaktu menjalani kehidupan rahsianya sebagai gadis peneman kelas atasan.

Menurut lelaki terbabit yang sudah berkahwin, mempunyai dua orang anak yang masih kecil dan menetap di Amersham, Buckinghamshire, dia perlu membayar RM18,833 bagi setiap pertemuan.

Naseem memberitahu, dia mula mendapatkan perkhidmatan gadis peneman selepas rasa kasih dan sayang terhadap pasangannya mula pudar dan mereka mula berjauhan. Sejak sedekad lalu, dia telah melanggan pekerja seks, mengambil minuman keras hampir setiap hari dan mengambil dadah.

Tertuduh memberitahu, kerjayanya yang membawanya ke New York, Amerika Syarikat ketika berkhidmat dengan syarikat pengurusan kekayaan, Merril Lynch menyebabkannya tertekan, namun dia masih mengutamakan anak-anak dan cuba menghabiskan kesemua masa lapangnya bersama mereka.

Ketika ditahan, Naseem bekerja di Bank Toronto-Dominion, London. Pada ketika inilah, tertuduh menemukan profil `kerja’ mangsa yang menawarkan harga perkhidmatan untuk bermalam bersama bermula daripada RM5,369.

Pasangan terbabit dilihat bersama di tempat awam pada petang 24 Mei lalu apabila Naseem bertemu Christina di Crawley sebelum menghabiskan masa bersama.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan tertuduh berdiri di satu laluan di pasar raya Asda dan mencium mangsa di dahi ketika membeli champange kegemaran wanita itu, Veuve-Clicquot.

Pihak berkuasa mula mencari wanita berkenaan selepas mendapat laporan rakan-rakannya yang risau apabila Christina tidak hadir ke parti hari jadinya di South Kesington pada 25 Mei lalu. Pihak polis menemukan mayat Christina ketika memecah masuk flat rakannya pada awal pagi 26 Mei lalu.

Mereka menemui Naseem yang ketika itu sedang berpura-pura tidak sedarkan diri di atas sofa di bilik sebelah dengan hanya memakai jubah santai dan gelas arak, alat menghisap dadah dan pakaian dalam bertebaran di bilik itu.

Paramedik yakin lelaki itu hanya berpura-pura dan hanya ‘sedar sepenuh’ ketika ditahan di hospital sambil mendakwa tidak mengetahui apa yang berlaku.

Pada mulanya lelaki itu mendakwa tidak dapat mengingati kejadian tersebut ketika disoal siasat, namun ketika memberi keterangan di mahkamah, dia mengaku memukul Christina tapi atas alasan mempertahankan diri.

Bagaimanapun, Pendakwa Christopher Tehrani membantah pembelaan tersebut dan menyifatkannya sebagai satu pembohongan dan menyatakan tertuduh telah menyerang mangsa tanpa belas kasihan.

Pendakwaan memaklumkan Naseem menghabiskan masa kira-kira 12 jam di flat berkenaan, minum minuman keras, mengambil dadah dan menghantar video serta gambar lucah kepada gadis peneman lain. Tertuduh juga gagal menjelaskan bagaimana lesung boleh berada di bilik tidur.

Sepanjang perbicaraan, ahli keluarga mangsa hadir bagi mengikuti perkembangan kes.

Ibu bapa mangsa menyifatkan anak perempuan mereka sebagai seorang yang penyayang dan gambaran yang diberikan mengenai anak mereka di mahkamah bukanlah sifat sebenar Christina.

“Ia tidak dinyatakan, namun kami ingin menjelaskan bahawa dia pernah menjawat jawatan yang sah di beberapa agensi hartanah. Dia tiada di sini untuk membela diri dalam kes ini dan cara dia digambarkan sewaktu perbicaraan tidak menunjukkan siapa Christina sebenar.

“Apa yang dinyatakan dalam perbicaraan ini tidak mengubah fakta bahawa dia seorang yang penyayang dan mengambil berat orang lain. Dia seorang anak, kakak, anak saudara dan kawan yang baik,”ujar ibu bapanya.

Bapa mangsa, Micheal Abbotts yang menetap di Stourbridge berkata, dia tidak menyedari pekerjaan sebenar anaknya, tetapi mengetahui Christina mempunyai ramai kawan yang kaya dan sering melancong.