Dilahirkan pada 8 Januari 1942, 300 tahun selepas kematian bapa sains moden, Galileo Galilei, beliau percaya sains adalah takdirnya walaupun nasib tidak menyebelahi saintis itu kerana kecacatannya.

Hampir sepanjang hayatnya dihabiskan di atas kerusi roda akibat menderita sakit amyotrophic lateral sclerosis (ALS), sejenis penyakit neuron motor yang me­nyerang saraf pengawal pergerakan.

Agak memeranjatkan, Hawking menafikan ramalan ba­hawa beliau hanya mampu hi­dup selama beberapa tahun sahaja dengan me­ngatasi kesan sakit itu pada pergerakan dan ucapannya dengan kemampuan berkomunikasi menerusi peralatan khas yang dikenali computer speech synthesiser.

“Saya kerap ditanya: Bagaimana rasanya menanggung sakit ALS?” kata Hawking.

“Jawapannya adalah, tidak ba­nyak. Saya cuba menjalani kehidupan normal dan tidak memikirkan keadaan saya selain menyesali perkara yang saya tidak dapat buat banyak.”

Stephen William Hawking bagaimanapun jauh lebih baik da­ripada orang normal.

Di sebalik ‘belenggu’ tubuhnya yang semakin tidak berguna adalah kecerdasan mindanya yang tajam didorong oleh sifat alam semesta bagaimana ia terbentuk dan bagaimana ia berakhir.

“Matlamat saya mudah. Memahami dengan lengkap mengenai alam semesta. Mengapa ia begitu dan kenapa ia wujud,” katanya.

Kebanyakan usaha Hawking tertumpu kepada menyatukan relativiti, sifat ruang dan masa, teori kuantum dan bagaimana kelakuan zarah terkecil dalam alam semesta bagi menjelaskan penciptaan alam semesta dan bagaimana ia ditadbir.

Pada 1974, Hawking menjadi satu daripada felo termuda badan saintifik berprestij di Britain, Ro­yal Society pada usia 32 tahun.

Seterusnya pada 1979, beliau dilantik sebagai Profesor Lucas Matematik di Universiti Cambridge yang pernah dipegang oleh Issac Newton.

Hawking kemudian meletakkan teori graviti Newton untuk diuji pada 2007 semasa beliau berusia 65 tahun. Saintis itu menaiki pe­nerbangan tanpa berat di Amerika Syarikat (AS) sebagai permulaan kepada kapal angkasa yang mengelilingi orbit.

Namun beliau tidak melihat lawatan itu sebagai hadiah hari lahir sebaliknya beliau mahu membuktikan kecacatan bukannya halangan untuk mencapai kejayaan selain menggalakkan minat kepada angkasa lepas.

“Saya percaya manusia tidak mempunyai masa depan jika tidak pergi ke angkasa lepas.

“Saya percaya hidup di bumi hanya meningkatkan risiko manusia dihapuskan oleh bencana seperti pemanasan global, perang nuklear dan sebagainya.”

Terbaharu, Hawking mendakwa kecerdasan buatan (AI) boleh menyumbang kepada pembasmian penyakit dan kemiskinan selain memberi amaran akan bahaya yang berpunca daripada teknologi tersebut.

Sementara itu, kepintaran Haw­king memberikannya kemasyhuran di peringkat global dan beliau dikenali sebagai komunikator lucu yang berhasrat membawa sains kepada khalayak yang lebih luas.

Buku tulisannya, A Brief History of Time berusaha menjelaskan kepada bukan saintis tentang teori alam semesta sehingga menjadi buku paling laris di peringkat antarabangsa dan meraih pujian global.

Hawking pertama kali berkahwin dengan Jane Wilde pada 1965 dan mempunyai tiga anak sebelum mereka berpisah 25 tahun kemudian.

Saintis itu kemudian mengahwini bekas jururawatnya, Elaine Mason tetapi tidak berkekalan selepas Hawking terpalit tuduhan melakukan penyeksaan yang di­nafikan beliau. – AFP