SerambiNews.com melaporkan, sebabnya adalah penurunan harga tiket domestik yang digembar-gemburkan turun sehingga 60 peratus dilihat masih jauh berbanding harga tiket laluan antarabangsa.

Itu sebabnya, sebahagian besar warga Aceh akan tetap memilih laluan penerbangan antarabangsa, Banda Aceh-Kuala Lumpur-Jakarta atau kota lainnya di Indonesia.

Hal itu dinyatakan oleh Pengarah Yayasan Advokasi Rakyat Aceh (YARA), Safaruddin SH dan Naib Ketua Suruhanjaya IV Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Aceh, Asrizal H Asnawi kepada SerambiNews.com hari ini.

Kenyataan masih mahalnya harga tiket laluan domestik ini juga diluahkan sejumlah warganet dalam kolum komentar berita yang disiarkan di Facebook SerambiNews.com.

“Naik 120 peratus, turun 60 peratus, ertinya masih juga naik 60 peratus,” tulis pemilik akaun bernama Maulidar dalam ruangan komentar berkenaan.

Safaruddin SH berkata, dia akan tetap terbang ke Surabaya bersama keluarga melalui laluan antarabangsa (Kuala Lumpur) dengan pesawat AirAsia.

Jelasnya, hasil pemeriksaan setakat pukul 10 malam waktu Indonesia Barat, belum ada perubahan harga tiket untuk penerbangan dari Banda Aceh ke Surabaya.

“Saya baharu sahaja memeriksa harga tiket, belum ada perubahan seperti disiarkan bahawa sudah ada penurunan sehingga 50 peratus. Bahkan harganya juga masih jauh lebih murah dengan menggunakan AirAsia melalui transit di Kuala Lumpur,” katanya.

Sementara itu, Asrizal pula memberitahu, pihaknya menerima laporan warga Aceh yang tetap terbang ke Jakarta atau daerah lainnya di Indonesia melalui Kuala Lumpur.