Malah, kejayaan demi kejayaan yang dicapai oleh tentera kerajaan menawan banyak kubu kuat Daesh di sekitar bandar utama di Syria secara tidak langsung memberi harapan kepada negara itu untuk memperoleh semula keamanan serta kestabilan.
Biarpun ada pendapat sesetengah pihak yang mengatakan keadaan kritikal di Syria sukar untuk dipulihkan, namun adalah tidak mustahil untuk negara tersebut kembali bersinar seperti negara lain. Bagi mengupas keadaan semasa di Syria, wartawan Utusan Malaysia, ADLINAHANI KHALIL bersama jurugambar, ABDUL NAZIR MOHAMED menemu bual Charge d’Affaires Syria ke Malaysia, TAMIM MADANI baru-baru ini.

 

UTUSAN: Boleh tuan jelaskan bagaimana keadaan semasa di Syria?

TAMIM: Secara jujurnya, situasi di Syria kini boleh dikatakan lebih selamat dan stabil berbanding sebelum ini kerana kebanyakan bandar utama di seluruh Syria seperti di Aleppo dan Homs berjaya dikawal tentera kerajaan. Aktiviti ketenteraan juga ditingkatkan dari semasa ke semasa bagi membendung te­rus kegiatan kumpulan militan Daesh, terutamanya di kawasan perkampungan. Tidak dinafikan tentera kerajaan masih bertungkus-lumus membanteras kegiatan Daesh, namun keadaan semakin terkawal selepas banyak kubu kuat terakhir kumpulan militan tersebut berjaya ditawan dalam operasi besar-besaran. Situasi itu sudah cukup untuk menjelaskan tiada apa yang perlu dirisaukan ketika ini biarpun ada kalanya keadaan menjadi tegang kerana kami yakin pasukan tentera kerajaan akan terus memantau serta mengawal apa yang berlaku.

Mungkin boleh dikatakan perang yang berlaku di Syria semakin hampir ke penghujung, jadi bagaimanakah dunia boleh membantu Syria untuk pulih kembali?

Perang yang berlaku di Sy­ria sudah lama berlarutan dan rakyat Syria sentiasa berharap agar keadaan tegang ini segera berakhir supaya mereka boleh menikmati kehidupan tanpa perlu rasa takut dan tertekan. Perkara pertama yang perlu dilakukan dunia untuk membantu Syria adalah mengenali serta memahami tentang Syria dan rakyatnya kerana dengan langkah ini, dunia pasti tahu bantuan apa yang perlu dihulurkan tanpa sebarang kompromi atau berpihak kepada mana-mana pihak. Bantuan tanpa sebarang kompromi bukan sahaja dapat membantu Syria pulih daripada perang, malah dapat mengukuh­kan hubungan Syria dengan negara Islam yang lain termasuk Malaysia dalam pelbagai sektor. Sehubungan itu, media memainkan peranan penting dalam melaporkan keadaan di Syria kepada dunia supaya mereka tahu tentang rakyat kami serta bantuan yang diperlukan.

Bagaimana de­ngan ketelusan media melaporkan tentang Syria?

Saya lihat banyak berita me­ngenai Syria dilaporkan dalam pelbagai jenis media namun tidak keterlaluan untuk saya sifatkan yang kebanyakan laporan berita itu adalah tidak benar. Perkara ini amat menyedihkan kerana apa yang berlaku ketika ini (perang) bukanlah kehendak rakyat Syria dan saya yakin, tiada mana-mana negara ingin terjebak dalam peperangan yang pasti menimbulkan banyak ke­san buruk. Ada sesetengah media bersikap berat sebelah terhadap Syria dengan menggambarkan apa yang berlaku berpunca daripada sikap kerajaan yang terlalu degil dan enggan bekerjasama membanteras kegiatan militan.

Apabila laporan yang disiarkan bertentangan dengan kea­daan sebenar, maka usaha untuk memulihkan Syria menjadi semakin sukar kerana masyarakat dunia keliru dengan apa yang berlaku dan lebih terdorong untuk mempercayai maklumat-maklumat yang salah.

Antara laporan media me­ngenai Syria termasuk tentang sikap Presiden Bashar al-Assad yang sering mengarahkan tentera kerajaan menggempur kumpulan militan tanpa memikirkan keselamatan awam dan hanya menyembunyikan diri. Apa pendapat tuan?

Saya ingin tanya satu soalan, media yang melaporkan berita itu, pernahkan mereka menemu bual Bashar secara bersemuka? Pernahkah mereka mengetahui sifat peribadi sebenar Bashar? Dan jika jawapannya tidak, anda perlu mengkaji semula semua laporan yang disiarkan.

Untuk pengetahuan semua, Bashar merupakan antara pemim­pin negara yang paling sedikit diberi liputan media oleh dunia malah pada tahun lalu, hanya beberapa temu bual sahaja yang dilakukan bersama Presiden. Jadi, dari mana datangnya maklumat mengenai keperibadian Bashar? Saya juga pernah terbaca berita tentang Bashar yang dikatakan me­ninggalkan Damsyik berikutan perang yang berlaku dan ingin­ saya tegaskan bahawa beliau tidak pernah meninggalkan Syria­ seperti yang didakwa. Beliau sehingga kini masih menjalankan tanggungjawab sebagai pemimpin Syria dengan penuh dedikasi terutamanya untuk rakyat.

Adakah benar campur tangan luar di Syria menjadi punca pergolakan yang berlaku semakin teruk?

Memang benar. Selagi ada campur tangan pihak-pihak tidak sepatutnya, selagi itulah krisis di Syria sukar dipulihkan. Apa yang ingin saya katakan, Syria tidak pernah meminta bantuan Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara lain bagi membendung masalah dalaman serta kegiatan militan di negara kami.

Rusia menjadi satu-satunya negara yang Syria minta bantuan dan apa yang dilakukan oleh AS serta negara lain ketika ini kami sifatkan sebagai pencerobohan. AS tidak pernah meminta kebenaran dari Syria untuk membentuk tentera pakatan, malah kehadiran mereka dilihat seperti sengaja mengeruhkan keadaan menerusi pelbagai propaganda yang dicipta untuk mengelirukan masyarakat dunia.

Apabila negara jiran membuka pintu sempadannya de­ngan Syria, secara tidak langsung memberi laluan kepada kumpulan pemberontak memasuki Syria dan bergabung dengan kumpulan militan untuk menggulingkan kerajaan pimpinan Bashar. Keadaan itu menyukarkan usaha kerajaan memulihkan Syria memandangkan terdapat banyak pecahan masalah yang perlu diambil kira.

Apakah kaedah terbaik untuk pulihkan Syria?

Setakat ini, tiada apa yang diinginkan oleh rakyat Syria selain keamanan dan kesejahteraan.Kerajaan akan te­rus berusaha memastikan impian itu tercapai. Pada saya, bebas daripada cengkaman campur tangan pihak yang tidak sepatutnya dan menerima bantuan yang tiada kompromi dari dunia dapat membantu Syria bangkit.

Bantuan bermotifkan politik hanya memburukkan kea­daan ekoran wujudnya kepen­tingan tertentu. Kami tidak mahu perkara tersebut membantutkan usaha damai. Syria juga berharap dapat mencontohi Malaysia. Rakyat negara ini perlu bersyukur atas keamanan serta kestabilan yang ada.