Walter Wobmann dari Parti Rakyat Switzerland berkata, langkah itu perlu dikuatkuasakan segera memandangkan pemakai­an topi dan cekak rambut juga dilarang dalam gambar pasport.

“Saya tidak boleh menerima jika seseorang dibenarkan memakai tudung untuk mengambil gambar pasport, sedangkan topi dan cekak rambut dilarang.

“Ini bukan tentang kebebasan beragama, namun layanan sama rata,” katanya sebagaimana lapor portal The Independent.

Wobmann sebelum ini giat berkempen melarang pe­makaian burqa di Switzerland.

Garis panduan bagi gambar pasport, kad pengenalan dan lesen memandu yang ditetapkan polis persekutuan Switzerland membenarkan pemakaian tudung atas sebab agama dan wajah seseorang masih dapat dikenal pasti.

Ketika ditanya sama ada beliau akan berkempen mengharamkan pemakaian tudung untuk gambar pasport, Wobmann berkata, pihaknya sedang menunggu maklum balas Majlis Persekutuan Switzerland sebelum memutuskan langkah seterusnya.

Di United Kingdom dan Amerika Syarikat, pemakaian tudung dibenarkan pada gambar pasport dan kad pengenalan jika dibuat atas sebab agama.