Mail Online melaporkan, amaran itu dibuat oleh saintis yang percaya kemajuan dalam kecerdasan buatan bermakna, mesin dengan kuasa untuk memilih dan menyerang sasaran tanpa input manusia akan dibangunkan tidak lama lagi.

Menurut mereka, robot seperti itu mewakili revolusi ketiga perang selepas penggunaan senjata api dan nuklear.

Aktivis kempen hentikan robot pembunuh, Mary Wareham berkata, keselamatan dunia dan masa depan manusia bergantung kepada pengharaman robot tersebut.

“Senjata automatik adalah satu contoh negatif yang berlaku akibat salah guna bidang kecerdasan buatan.

“Apabila dibiarkan, mereka akan bertambah dan akhirnya gagal dikawal,” katanya.

Ramai tampil menyokong cadangan pengharaman tersebut termasuk Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres yang menyifatkan senjata automatik sebagai satu kekejaman dan tidak boleh diterima.

Dalam pada itu, aktivis mendesak Britain menandatangani perjanjian untuk mengharamkan mesin atau robot pembunuh.

Desakan tersebut dibuat selepas Setiausaha Pertahanan Britain, Gavin Williams memperkenalkan rancangan untuk menggunakan dron bersenjata untuk tujuan pertahanan.
– AGENSI