Dalam satu kenyataan, pejabat pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh berkata, satu perjanjian telah dicapai hari ini antara Hamas dan Fatah di bawah kelolaan Mesir.

“Fatah dan Hamas mencapai satu perjanjian perdamaian,” me­nurut kenyataan itu.

Bagaimanapun kenyataan ter­sebut tidak memberikan butiran lanjut perjanjian ber­kenaan.

Jurucakap bagi Fatah, Fayez Abu Eita yang juga perwakilan parti itu di Kaherah memberitahu AFP bahawa butiran tentang perjanjian terbabit akan diumumkan kemudian.

Kedua-dua pihak terlibat da­lam mesyuarat di ibu negara Mesir sejak kelmarin dengan matlamat menghentikan perbalahan berpanjangan antara pergerakan politik.

Seorang jurucakap parti yang terlibat dalam rundingan dan tidak mahu namanya didedahkan berkata, perjanjian itu akan menyaksikan pasukan pihak berkuasa Palestin di Tebing Barat yang dikuasai Fatah akan menguasai pintu sempadan Rafah antara Gaza dan Mesir.

Tambahnya, kesemua parti Pa­lestin yang berpecah akan memulakan rundingan lebih luas dalam pembentukan sebuah kerajaan perpaduan nasional dalam tempoh dua minggu lagi.

Dalam perkembangan ber­kaitan, Presiden Palestin Mah­moud Abbas akan melawat Gaza buat pertama kali dalam tempoh sedekad pada bulan ini.

“Beliau akan berada di Gaza tidak lama lagi,” kata pemimpin kanan Fatah, Zakarian al-Agha.

Mahmoud tidak melawat Gaza sejak pasukan pihak berkuasa Pa­lestin diusir oleh Hamas pada 2007.

Bulan lalu, Hamas mengumumkan langkah-langkah yang diambil pihaknya bagi mewujudkan perpaduan dalam kalangan rakyat.

Perselisihan faham antara Hamas dan Fatah selama ini hanya menguntungkan rejim zionis Israel yang didakwa sengaja mencetuskan krisis tersebut bagi memboleh­kan mereka terus menindas serta menzalimi rakyat Palestin.

Pertemuan di Kaherah merupakan satu usaha melaksanakan Perjanjian Kaherah 2011 antara kedua-dua belah pihak, dengan harapan untuk mengakhiri perpecahan politik selama 10 tahun. – AFP