Halimah Yacob
Halimah Yacob

Selain melakar sejarah ter­sen­diri apabila menjadi wanita pertama dipilih untuk jawatan itu, Halimah juga menjadi Melayu pertama memegang jawatan tersebut selepas lebih 47 tahun di Singapura.

“Saya berjanji untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Singapura dan janji itu tidak akan berubah sama ada terdapat pilihan raya atau tidak.

“Keinginan dan komitmen saya untuk berbakti kepada rakyat Singapura masih kekal sama. Saya sentiasa komited untuk berkhidmat kepada kedua-duanya (Singapura dan rakyatnya),” kata Halimah seperti dilaporkan Channel News Asia.

Semalam, Jabatan Pilihan Raya Singapura mengumumkan bahawa hanya satu sijil kelayakan (Certificate of Eligibility) dikeluarkan untuk calon Presiden negara ini.

Halimah yang tiba di jabatan itu kira-kira pukul 6 petang dengan ditemani tiga anggota kempennya kemudian memberitahu, beliau telah menerima sijil tersebut sebelum pulang.

Pemimpin politik berusia 63 tahun itu juga memberitahu, beliau sedang menumpukan persiapan untuk Hari Pencalonan yang di­jangkan esok.

“(Hari Pencalonan) juga memerlukan persiapan rapi,” katanya.

Halimah turut meminta rakyat Singapura bersama-sama dengannya untuk menjadikan negara ini lebih ‘kuat’ kerana salah satu pe­ranannya sebagai Presiden adalah menyatukan rakyat.

“Ini adalah perjalanan yang kita perlu tempuhi bersama.

“Proses ini juga mungkin permulaan kepada satu pilihan raya, tetapi Presiden untuk semua orang serta semua komuniti tanpa mengira bangsa dan agama,” katanya.