Pelantikan Halimah dilihat hampir pasti selepas Jabatan Pilihan Raya Singapura dalam kenyataan medianya semalam memaklumkan, hanya satu Sijil Kelayakan (Certificate of Eligibility) dikeluarkan terhadap calon yang bertanding untuk jawatan tersebut.

Walaupun jabatan terbabit tidak mengumumkan nama calon yang layak, namun, dua lagi calon utama yang juga berketurunan Melayu iaitu Mohamed Salleh Marican dan Farid Khan mengesahkan bahawa permohonan mereka telah ditolak, lapor Channel News Asia.

Kegagalan permohonan Mohamed Salleh dan Farid sekali gus menjadikan Fatimah satu-satunya calon tunggal yang bertanding untuk jawatan Presiden Singapura ketika ini.

Menurut Jawatankuasa Pilihan Raya Presiden, permohonan Mohamed Salleh ditolak selepas pemegang saham ekuiti syarikat yang dikendalikannya hanya mencatatkan purata pendapatan sebanyak S$258 juta (RM806.73 juta) untuk tempoh tiga tahun kewangan terakhirnya.

Jumlah itu bagaimanapun tidak menepati nilai yang ditetapkan iaitu sebanyak S$500 juta (RM1.56 bilion).

Difahamkan, permohonan Farid juga ditolak atas alasan yang sama iaitu syarikatnya tidak memiliki aset sebanyak itu.

Dalam pada itu, Halimah yang memegang jawatan Speaker sejak 2013 dijangka memulakan penggal Presidennya Khamis ini, iaitu hari pertama bekerja selepas Hari Pencalonan yang jatuh pada hari Rabu. - AGENSI