Menurut laporan Al-Jazeera, Haley menegaskan perkara itu ketika bercakap dalam satu maj­lis anjuran Yayasan Pertahanan Demokrasi, sebuah pertubuhan pemikir pro-Israel yang berpusat di Washington.

Pada majlis tersebut, beliau diajukan persoalan sama ada pihaknya bersetuju jika hak rakyat Palestin kembali ke negara asalnya diketepikan.

“Saya rasa semua pihak perlu meneliti perkara ini terutama mengenai apa terjadi kepada pelarian di Syria dan Venezuela,” katanya.

Penduduk Palestin sebelum ini melihat hak untuk kembali ke negara asal serta penamatan pendudukan Israel di wilayah mereka sebagai satu daripada syarat asas kepada perjanjian damai antara kedua-dua pihak.

Haley turut menuduh Agensi Kerja dan Bantuan Untuk Pela­rian Palestin PBB (UNRWA) se­ngaja memperbesar-besarkan isu mengenai jumlah pelarian Palestin yang menerima bantuan dan perkhidmatan daripada agensi tersebut.

Beliau berkata, AS akan menjadi penyumbang dana kepada penduduk Palestin jika UNRWA melakukan pembaharuan sekiranya mereka mengubah bilangan pelarian ke angka sebenar.

Dalam pada itu, lebih lima juta pelarian Palestin ditempatkan di beberapa wilayah yang diduduki Israel, dikelilingi beberapa negara termasuk Jordan, Syria dan Lebanon.

Kebanyakan pelarian tersebut adalah daripada 700,000 penduduk asal Palestin yang diusir dari tanah mereka oleh tentera Zionis pada 1947 hingga 1948.

Berikutan krisis pelarian itu, UNRWA diwujudkan di bawah Resolusi PBB 302. Agensi tersebut bertanggungjawab memastikan kumpulan pelarian Palestin tidak berdepan masalah kebuluran dan tertekan, selain mengekalkan keamanan dan kestabilan.

Sejak penubuhannya, UNRWA bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk melaksanakan resolusi yang adil kepada semua pelarian Palestin.

Jurucakap UNRWA di Gaza, Ad­nan Abu Hasna menyatakan bahawa perkara tersebut disifatkan sebagai satu isu yang dipolitikkan.

“Sehubungan itu, komuniti an­tarabangsa bertanggungjawab untuk mencari penyelesaian po­litik.

“Kami akan terus berkhidmat untuk pelarian Palestin sehingga semua isu selesai dan selepas itu, UNRWA tidak akan lagi berfungsi,” jelasnya.