Arab Saudi dalam satu kenyataan semalam berkata, lebih 1.7 juta jemaah dari luar negara sudah berada di sini untuk menunaikan rukun Islam kelima menjadikannya perhimpunan tahunan terbesar bagi umat Islam.

Pegawai Kementerian Kesihatan Arab Saudi , Hussein Ghanam berkata, pihaknya sudah bersedia jika berlaku lagi insiden seperti tahun 2015 yang menyebabkan kematian hampir 800 orang jemaah.

“Sebuah pasukan ambulans bersepadu disediakan dengan setiap ambulans dilengkapi dengan unit rawatan intensif serba lengkap. Ambulans ini akan berada berhampiran khemah jemaah,” katanya.

Kira-kira 30,000 petugas kesihatan dikerah bagi memastikan kelancaran musim haji tahun ini dengan sebanyak 5,000 buah katil turut disediakan.

Dalam pada itu, Pengarah Bulan Sabit Merah Saudi, Mohammed bin Abdullah al-Qassim berkata, pertubuhan terbabit akan menyokong operasi kementerian kesihatan dengan menyediakan sebanyak 350 ambulans dan empat buah helikopter.

“Syukur kepada Tuhan kerana kami mempunyai bekalan tambahan dan kelengkapan selain kenderaan khas untuk menangani masalah bencana secara langsung dan memindahkan mereka ke hospital berhampiran,” katanya.

Pada tahun ini, kira-kira 90,000 jemaah haji dari Iran akan menunaikan ibadah haji buat pertama kali sejak insiden rempuhan pada tahun 2015. Insiden berkenaan menyaksikan, lebih 400 jemaah Iran maut.

Sementara itu, Hussein berkata, pihak kementerian juga telah membuat persiapan rapi bagi menangani penularan wabak Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERS), antara penyakit membawa maut yang kerap berlaku di Arab Saudi sejak lima tahun lalu.

“Kita berulang kali berjaya menangani penularan wabak MERS, SARS selesema babi 
dan selesema burung,” 
katanya. – REUTERS