Menulis dengan kapur merupakan satu pengalaman indah walaupun agak susah untuk mendapatkan tulisan cantik dan mudah difahami terutamanya pelajar.

Namun bagi seorang guru, itu adalah satu teknik pengajaran yang perlu dilakukan seharian sehingga pelajar berasa kagum dengan guru yang mampu menulis dengan baik di papan hitam.

Hari ini, papan hitam dan teknik tulisan kapur bukan hanya ada di sekolah, malah dijadikan hiasan dan latar pentas di kedai makan hipster untuk menulis senarai menu dan sebagainya.

Berbeza dengan seorang guru di Jepun, Hirotaka Hamasaki. Dia bukan hanya menulis untuk proses pengajaran dan pembelajaran, malah mampu melukis dengan baik menggunakan kapur.

Dia yang menggunakan kapur pelbagai warna dan juga pemadam papan hitam untuk melukis menjadikan karya hebat seperti Leonardo da Vinci, Last Supper dan juga kartun Disney sebagai salah satu hasil seninya.

Kebolehan Hamasaki amat unik kerana mampu menghasilkan karya yang serius sehinggalah satu karya kontemporari pelbagai warna yang sememangnya jarang ada pada pelukis hari ini.

Selain karya popular antarabangsa, dia juga melukis watak komik manga terkenal seperti filem animasi Kimi No Na Wa yang popular di Jepun.

Dengan bakat yang dimiliki, dia bukan sahaja mampu menarik minat pelajar untuk mengikuti kelasnya, malah menjadikan karyanya sebagai salah satu tarikan kepada pelajar untuk hadir ke sekolah.

Pada hari graduasi pelajarnya, Hamasaki turut menulis ucapan graduasi dengan melukis di papan hitam, khas buat pelajarnya.

Bagi mereka yang ingin melihat karya guru seni lukis dan juga pereka grafik ini, bolehlah melayari laman Instagram milik beliau bagi melihat pelbagai karya yang menarik. 
– http://www.boredpanda.com/