Mereka berkumpul dalam hujan di luar City Hall sambil melaungkan slogan sebelum berarak menuju ke ibu pejabat daerah.

Selain menuntut kenaikan gaji sebanyak 6.5 peratus, Ke­satuan Guru Los Angeles (UTLA) mendesak pihak berwajib menambah bilangan pegawai perpustakaan, kaunselor dan jururawat di sekolah.

Pada masa yang sama, mereka meminta penambahan bilangan kelas bersaiz kecil, mengurangkan ujian dan menghentikan sementara sekolah-sekolah persendirian.

Mogok besar-besaran yang pertama selepas 30 tahun itu tercetus setelah rundingan yang dijalankan antara UTLA dan pihak sekolah di daerah itu gagal mencapai matlamat dan menemui jalan buntu.

Sementara itu, situasi sama dilaporkan berlaku di New Zealand membabitkan ribuan doktor muda yang menuntut kenaikan gaji, persekitaran kerja yang lebih baik serta membantah kontrak perkhidmatan baharu yang dianggap membebankan.

Hampir 80 peratus doktor muda di seluruh negara bertindak meninggalkan tugas di hospital awam selepas rundingan setahun lebih antara Kesatuan Doktor Residen New Zealand (NZRDA) dengan Lembaga Kesihatan Daerah (DHB) gagal.

Tiada demonstrasi besar-besaran dilaporkan berlaku namun sekumpulan kecil doktor muda dilihat berkumpul di jalanan sambil melaungkan tuntutan tempoh waktu kerja yang lebih baik.

Ribuan pembedahan, temu janji dan khidmat perubatan dibatalkan sebagai kesan daripada mogok tersebut.

Doktor-doktor senior yang tidak terlibat dikerah untuk mengendalikan operasi kecemasan dan penting.

Kesatuan kini sudah me­rancang untuk mogok selama 48 jam kedua pada 29 dan 30 Januari depan untuk memberi tekanan kepada pihak kerajaan.

Dalam pada itu, mogok besar-besaran juga berlaku di Jerman melibatkan kakitangan keselamatan di lapan buah lapangan terbang seluruh negara itu yang tidak berpuas hati terhadap bayaran gaji yang rendah.

Lapangan terbang yang terkesan adalah di Hamburg, Hanover, Bremen, Frankfurt, Munich, Leipzig, Dresden dan Erfurt. – REUTERS/AGENSI