Menurut AFP, tunjuk perasaan yang diadakan semalam, berpunca daripada rasa tidak puas hati guru di kedua-dua negeri berhubung pembiayaan pendidikan disekat sejak beberapa tahun lalu.

Tindakan itu juga susulan kepada kejayaan golongan guru di West Virginia menuntut kenaikan gaji buat kali pertama dalam tempoh empat tahun selepas mengadakan protes selama sembilan hari pada bulan lalu.

Ketua Pendidikan Oklahoma, Joy Hofmeister berkata, demostrasi tersebut adalah mesej mengenai pelajar, dana pendidikan awam dan sokongan kepada semua pelajar untuk meneruskan pembelajaran.

Tunjuk perasaan itu turut menjejaskan beberapa kelas, selain menyaksikan pihak pentadbir berdepan dengan kesukaran untuk mencari guru ganti bagi memastikan sekolah terus berope­rasi.

Ada beberapa sekolah di daerah lain sudah ditutup berikutan cuti dan ada yang bakal berdepan dengan penutupan lebih lama selepas golongan guru bertegas untuk mengadakan demonstrasi sehingga tuntutan mereka dipenuhi.

Keadaan sama juga berlaku di Kentucky apabila kesemua 120 sekolah awam ditutup ekoran tunjuk perasaan yang diadakan.

Golongan guru di negeri itu menuntut perubahan dalam faedah pencen dan peruntukan dana yang lebih banyak terhadap sekolah awam.

Seorang daripada guru yang menyertai tunjuk perasaan tersebut, Andrew Beaver memaklumkan bahawa golongan guru di Kentucky berang selepas badan perundangan negeri meluluskan rang undang-undang yang mengubah faedah persaraan pengamal pendidikan. – AFP