Jurucakap BMKG, Harry Tirto Djatmiko yang dipetik portal Okezone sebagai berkata, penduduk, pendaki serta pelancong yang berada dalam lingkungan kira-kira 4 kilometer dari Gunung Berapi Agung dinasihatkan meninggalkan kawasan terbabit susulan letupan itu.

“Letupan itu berpotensi mengakibatkan lahar gunung berapi mengalir menerusi su­ngai-sungai yang terletak di hulu Gunung Agung,” katanya.

Pusat Volkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) mengesahkan Gunung Berapi Agung kini dile­takkan pada ama­ran peringkat ketiga, sekali gus menyebabkan Bali kini dalam keadaan berjaga-jaga.

Letupan gunung berapi ber­ke­naan kira-kira pukul 4.09 pagi waktu tempatan selama tiga minit itu mencatatkan kekuatan 22 mili­meter mengikut bacaan seismogram.

“Berlaku letusan Gunung Berapi Agung hari ini, namun tahap ketinggian letusan abu masih belum dapat disahkan.

“Pengiraan zon ancaman adalah dinamik dan terus dinilai serta boleh berubah pada bila-bila masa berdasarkan pemantauan Gunung Agung yang terkini,” kata Harry.

Dalam perkembangan berasingan, Pakar Geologi dari Lembaga Ilmu Pengetahuan Indonesia (LIPI), Danny Hilman Natawidjaja mengesahkan kewujudan gunung berapi besar di bawah laut Sumatera.

Menurutnya, lokasi gunung tersebut terletak di dalam laut dekat luar Pantai Bengkulu namun tidak berbahaya kerana ia sudah tidak aktif. – AGENSI