Sejak perjanjian antara Kesatuan Eropah (EU) dan Turki berhubung penghantaran pulang pendatang dimeterai pada 20 Mac lalu, lebih 5,600 pendatang telah didaftarkan di kepulauan Greece itu.

Penghantaran pulang dijangka bermula esok, namun masih belum dipastikan jumlah yang akan dihantar pulang.

“Perancangan penghantaran masih dalam proses,’’ kata jurucakap kerajaan Greece bagi krisis pendatang, George Kyritsis.

Athens News Agency melaporkan, dua kapal penumpang Turki yang disewa oleh agensi sempadan EU, Frontex, akan menghantar pulang pendatang berkenaan esok dari Lesbos melalui bandar Dikili, Turki.

Kira-kira 250 orang akan dihantar pulang setiap hari sehingga Rabu.

Namun begitu, para pegawai Greece tidak memberi sebarang maklum balas terhadap laporan itu, manakala seorang jurucakap polis di Lesbos berkata, pihaknya masih menunggu arahan.

EU merancang untuk menghantar beratus-ratus polis dan pegawai migrasi ke Greece minggu ini bagi membantu penghantaran pulang yang pertama itu.

Penghantaran pulang merupakan perkara utama dalam perjanjian antara EU dan Turki dalam usa­ha untuk menamatkan kebanjiran pendatang dan pelarian ke Eropah dalam usaha mereka untuk melarikan diri daripada kemiskinan dan perang di Asia Barat, Asia, dan Afrika.

Di bawah perjanjian itu, pendatang yang memasuki Greece secara haram dari Turki bermula pada 20 Mac lalu akan dihantar pulang ke Turki sebaik sahaja permohonan perlindungan selesai. – Reuters