Sebaliknya, di sebuah masjid di Virginia, sekumpulan penyokong Islam bertindak menghasilkan ‘grafiti’ yang membawa mesej berbentuk positif.

Lapor ABC.net.au, mesej-mesej berbunyi ‘Anda disaya­ngi’, ‘Kami adalah saudara anda’ dan ‘Kami berada di sisi kamu’ merupakan sebahagian mesej yang ‘diconteng’ di sepanjang laluan menuju ke dalam Masjid Mubarak di Chantilly, Virginia.

Penyokong yang tidak dikenali itu menggunakan kapur untuk membalas sentimen anti-Islam di Amerika Syarikat (AS), khususnya selepas bakal Presiden, Donald Trump menyentuh mengenai Islam dalam kempen pilihan raya sebelum ini.

Seorang ahli jawatankuasa masjid, Qasim Rashid yang memuat naik beberapa keping gambar mengenai kata-kata tersebut di media sosial menyifatkan penyokong berkenaan sebagai ‘sekutu Islam’.

Sementara itu seorang jemaah, Hibbi Iqbal yang ditemui melahirkan rasa kagum dengan apa yang dilakukan oleh pihak terlibat.

“Kanak-kanak kelihatan gembira dan semua orang mula mengeluarkan kamera untuk bergambar dan menyebarkannya kepada orang lain,” katanya.

Tambahnya, tiada sesiapa me­ngetahui pihak yang menghasilkan lakaran mesej berkenaan.

“Masjid ini mempu­nyai hu­bu­ngan erat de­ngan jiran tetangga dan mereka sering dijemput ke majlis-majlis tertentu.

“Tidak mengejutkan bagi kami jika penyokong itu merupakan komuniti bukan Islam. Ini merupakan sokongan balas pertama terhadap masjid ini selepas pilihan raya Presiden,” jelasnya.