BBC melaporkan, perubahan itu melibatkan langkah-langkah berbeza bagi kedudukan laman sesawang dan keputusan carian ramai yang tepat.

Dalam satu blog, Google menjelaskan, perubahan itu akan menggagalkan percubaan penyalahgunaan algoritma enjin carian itu yang membolehkan penggodam mempromosikan kandungan produk mereka.

Google berdepan kritikan tahun lalu kerana memberikan keutamaan kepada kumpulan yang mahu menafikan tentang kejadian Holocaust.

Naib Presiden Kejuruteraan di Bahagian Carian Google, Ben Gomes berkata, firma itu sedang melakukan perubahan struktur bagi mengatasi cara baharu yang digunakan penggodam untuk menipu algoritma enjin carian terbabit.

Jelas beliau, kebanyakan kumpulan dan pertubuhan menggunakan berita palsu bagi menyebarkan maklumat yang mengelirukan, berkualiti rendah, menyakitkan hati dan sama sekali tidak benar,

Bagi menangani masalah itu, katanya, Google menambah metrik baharu untuk sistem kedudukannya yang akan membantu menghentikan maklumat salah daripada memasuki keputusan carian teratas bagi terma carian tertentu.

Katanya menambah, Google telah mengemas kini garis panduan yang diberikan kepada ribuan pemberi rating yang digunakan syarikat itu untuk memberi maklum balas sama ada sesuatu keputusan terbabit adalah tepat.