Kenyataan itu diterbitkan da­lam satu ruangan ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) daripada lebih 20 agensi berita termasuk Agence France-Presse (AFP), Persatuan Akhbar Britain dan Deutsche Presse-Agentur dari Jerman.

Kesemua mereka menyeru Parlimen Eropah supaya mengemas kini undang-undang hak cipta di Kesatuan Eropah (EU) bagi membantu menangani apa yang berlaku itu.

“Syarikat-syarikat gergasi internet merompak kandungan media berita dan hasil pengiklanan mereka menimbulkan ancaman kepada pengguna dan demokrasi,” jelas ruangan itu.

Para penggubal undang-un­dang Parlimen Eropah akan membahaskan undang-undang hak cipta baharu bulan ini yang akan memaksa syarikat-syarikat gergasi internet tersebut membayar lebih bagi kandungan kreatif yang digunakan dalam platform mereka seperti berita, muzik atau filem.

Draf pertama undang-undang berkenaan ditolak pada Julai lalu dan cadangan itu ditentang hebat oleh firma teknologi AS, serta penyokong kebebasan internet yang bimbang peraturan tersebut boleh membawa kepada peningkatan kos kepada pengguna.

“Bolehkah syarikat-syarikat internet membayar pampasan kepada media tanpa meminta pengguna membayar akses kepada internet, kerana mereka mendakwa mereka mungkin terpaksa (me­ngenakan bayaran)? Jawapannya jelas sekali, ‘ya’,” kata ruangan itu.

Menurut agensi-agensi terbabit, Facebook melaporkan pendapatan sebanyak AS$40 bilion (RM165.5 bilion)) pada tahun lalu dengan jumlah keuntungan sebanyak AS$16 bilion (RM66.2 bi­lion) sementara Google memperoleh AS$12.7 bilion (RM52.5 bilion) daripada hasil jualan sebanyak AS$110 bilion (RM455 bilion).

“Siapa yang boleh mempertikaikan dengan alasan kukuh bahawa mereka tidak mampu membayar secara adil bagi kandungan yang mereka gunakan?

“Apa yang kita perkatakan adalah memperkenalkan pembayaran yang adil kepada mereka yang ‘mencuri’ berita-berita kami. Demi kebebasan akhbar dan nilai-nilai demokratik Eropah, Ahli Parlimen EU perlu melaksanakan pembaharuan dalam hak cipta,” tambah mereka.

Ruangan tersebut juga menandakan usaha melobi yang terbaharu dilakukan oleh kumpulan media, disokong rakan artis se­perti Paul McCartney bagi mendapatkan sokongan penggubal undang-undang Eropah ketika mereka bersiap sedia untuk me­lakukan undian kedua pada 12 September ini.

Usaha itu melibatkan dua bahagian undang-undang baharu yang telah dirancang.

Perkara pertama adalah Artikel 13 yang akan menjadikan platform seperti YouTube milik Google bertanggungjawab secara sah terhadap bahan yang memiliki hak cipta bagi mengelakkan hasil kerja pengeluar kandungan atau content dimuat naik tanpa dibayar.

Perkara kedua pula melibatkan Artikel 11 yang akan mewujudkan ‘hak jiran’ atau bermaksud akhbar, majalah dan agensi berita harus dibayar apabila Google atau laman sesawang lain me­ngadakan capaian (link) kepada bahan berita mereka.

“Tanpa membayar, gergasi internet seperti Google dan Facebook menggunakan sejumlah besar berita yang dihasilkan dengan harga yang tinggi oleh penerbit akhbar dan agensi berita,” tambah kenyataan bersama itu.– AFP