Kim Jong -Un
Kim Jong-Un

Portal Press TV memetik Byung-se sebagai berkata, langkah tersebut perlu diambil sebelum isu hak asasi manusia di negara komunis itu menjadi ancaman keselamatan antarabangsa.

Beliau menegaskan, masanya sudah tiba untuk membawa pe­mimpin Korea Utara dan juga mereka yang bertanggungjawab terhadap pelanggaran hak asasi manusia di negara berkenaan ke ICJ.

Ketika ini beratus-ratus pegawai kerajaan di Pyongyang ‘secara terbuka telah menjatuhkan hukuman terhadap ramai pesalah orang biasa’ di sana, kata Byung-se ketika menghadiri program Majlis Hak Asasi Manusia oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, Switzerland, semalam.

“Kita semua tahu siapakah yang sepatutnya dipertanggungjawabkan terhadap semua perbuatan jenayah ini,” katanya yang turut menyelar pembunuhan Kim Jong-nam iaitu abang pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un.

Byung-se berkata, berdasarkan perangkaan PBB, kira-kira 120,000 orang kini meringkuk dalam penjara di Korea Utara.

“Dalam hal ini, kita perlu bertindak secara individu dan berkumpulan sebelum pelanggaran hak asasi manusia di negara itu menjadi lebih buruk,” kata Byung-se.

Sementara itu, Ahli Parlimen Korea Selatan, Kim Byung-kee mendakwa dua menteri Korea Uta­ra terlibat dalam merancang pembunuhan Jong-nam dengan mendapat arahan Jong-un.

CNN melaporkan Byung-kee berkata, pemimpin politik negara itu telah diberi talkimat khas berhubung kematian Jong-nam oleh pegawai perisikan negara itu.

“Kementerian Luar dan Kementerian Keselamatan Dalam Ne­geri terlibat secara langsung dalam pembunuhan ini dengan mendapat arahan daripada Jong-un.

“Mereka telah merancang pembunuhan dengan menggunakan khidmat dua wanita tersebut. Pembunuhan ini dilakukan atas perintah Jong-un sendiri,” katanya dalam satu sesi temuramah siaran televisyen tempatan smealam.

Korea Utara sebelum ini berulang kali menafikan sebarang pengli­batan dalam pembunuhan Jong-nam dan menuduh media Korea Selatan menyiarkan laporan palsu. – AGENSI/AFP