Beberapa saksi memberitahu, api menyambar satu daripada gerabak tren bawah tanah di Ste­sen Parsons Green sekali gus menyebabkan para penumpang panik dan berebut-rebut mencari pintu keluar untuk menyelamatkan diri.

Kebanyakan mereka menyata­kan terdengar satu bunyi sebelum satu daripada gerabak tren berkenaan disambar api.

Akhbar Metro melaporkan, 22 penumpang tren di stesen berke­naan mengalami kecederaan akibat rempuhan orang ramai yang panik dengan letupan tersebut.

Selain itu, ada juga antara me­re­ka mengalami luka melecur di beberapa bahagian badan.

Jabatan polis London menerusi Twitter menyatakan siasatan kini giat dilakukan untuk mengenal pasti punca kejadian dan memandang serius sebarang laporan mengenai insiden berkenaan dalam media sosial.

Polis juga memberi jaminan untuk mengeluarkan kenyataan rasmi selepas siasatan terhadap insiden itu selesai.

Pasukan perubatan dan anggota bomba turut ditempatkan di lokasi kejadian sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan.

Jabatan Pengangkutan London menerusi Twitter memaklumkan perkhidmatan tren antara stesen Earls Court dan Wimbledon dihentikan sementara kerana melalui stesen Parsons Green.