Malah beratus-ratus lagi masih ‘mempertaruhkan nyawa’ me­nye­­be­rang sempadan negara ini sejak krisis yang bermula 25 Ogos lalu ekoran pertempuran antara pejuang Islam Rohingya dan tentera kerajaan.

Sejak tarikh itu Bangladesh terpaksa menggalas tanggungjawab menjaga kebajikan pelarian Ro­hingya selain cuba memujuk Myanmar menerima kembali pelarian berkenaan termasuk sekurang-kurangnya 240,000 kanak-kanak.

Jumlah tersebut merupakan tambahan daripada 300,000 pela­rian Rohingya yang telah berada di kem pelarian sekitar Cox’s Bazar.

Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina menerima pujian antarabangsa apabila membuka sempadan negaranya atas dasar kemanusiaan.

Walaubagaimanapun diplomat dan pakar berkata, Sheikh Hasina tidak boleh mengharapkan bantuan antarabangsa.

Mereka memberi amaran, sikap terbuka Bangladesh itu akan hilang jika penyelesaian masih gagal dilaksanakan.

“Bangladesh tidak boleh menangani krisis ini seorang diri kerana keadaan di kem pelarian amat sesak dengan ketibaan pela­rian baharu yang menambah kepada jumlah pelarian sedia ada,” kata Ketua Program Asia Institut Hal Ehwal Antarabangsa Chatham House di London kepada AFP.

Profesor Zachary Abuza dari National War College, Washington pula berkata, tiada negara yang menunjukkan keinginan untuk terlibat dalam krisis itu kecuali demonstrasi bantahan yang diadakan oleh negara-negara ASEAN seperti Malaysia dan Indonesia.

China serta India yang mempunyai pengaruh besar terhadap Myanmar enggan campur ta­ngan malah menyokong kerajaan Myan­mar demi kepentingan eko­nomi.

Sementara itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran tentang peningkatan risiko penyakit taun di kem pela­rian Rohingya di negara ini de­ngan laluan di sepanjang kem dipenuhi najis manusia.

Sebulan selepas kedatangan beramai-ramai etnik Rohingya, mereka yang ditempatkan di 68 kem dan pusat perlindungan di sepanjang sempadan tidak mempunyai air minuman bersih dan kemudahan kebersihan.

Dalam pada itu, pasukan tentera Myanmar menemukan 28 mayat penduduk Hindu, 20 daripadanya wanita manakala lapan lagi kanak-kanak lelaki di Kampung Ye Baw Kya di utara wilayah Rakhine, disyaki dibunuh oleh pejuang Islam, namun Tentera Pembebasan Rohingya Arakan (ARSA) menafikan tuduhan itu.

Di Jakarta, Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi memberitahu kepada portal berita Jakarta Post bahawa kenyataan yang dibuat oleh Pengerusi ASEAN, Alan Peter Cayetano adalah hasil daripada pertemuan tertutup para menteri luar di sebalik perhimpunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Sabtu lalu.

Retno menyifatkan kenyataan yang dibuat hasil daripada pertemuan tidak rasmi itu sebagai ‘lari daripada kebiasaan’ selain menawarkan empat cadangan kepada Cayetano untuk menamatkan krisis di Rakhine iaitu memulihkan kestabilan serta keselamatan, mengekang keganasan secara maksimum, perlindungan untuk semua tanpa mengira bangsa dan agama, dan kepentingan akses segera untuk bantuan kemanusiaan.

Malaysia menerusi Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman melahirkan rasa tidak setuju dan membantah kenyataan Cayetano berhubung krisis kemanusiaan yang berlaku ke atas penduduk Rohingya.

Kementerian Luar Filipina menghormati keputusan Kuala Lumpur untuk membantah kenyataan yang dibuat oleh Cayetano yang juga Setiausaha Hal Ehwal Luar negara itu. – Agensi