Menyoroti bencana alam me­lan­da negara jiran, Indonesia me­nerima kesan buruk akibat gempa bumi mencetuskan tsunami di Kota Palu, Sulawesi yang ditadbir oleh Wali Kota­nya, Pasha Ungu.

Situasi dilanda gempa bumi dan tsunami di Palu diibaratkan sebagai kiamat kecil oleh penduduknya.

Ini kerana hentaman tsunami meranap dan menghanyutkan bangunan, infrastruktur yang dibina bertahun-tahun lenyap dalam sekelip mata serta berdepan dengan kehilangan dan kematian ahli keluarga.

Lebih sukar lagi, penduduk perlu mendapatkan perlindu­ngan, bekalan makanan, air bersih dan ada yang masih terpaksa bertahan untuk dikeluarkan oleh pasukan penyelamat akibat tertimbus di bawah runtuhan ba­ngunan, namun tiada apa dapat dilakukan kerana kekangan jentera untuk mengangkat blok binaan.

Ratusan mayat pula berge­lim­pangan sehingga memaksa pihak berkuasa mengumumkan pengebumian besar-besaran da­lam usaha mencegah penularan wabak penyakit.

Lebih 2,000 orang dilaporkan terkorban, manakala dianggarkan 5,000 masih hilang dalam gempa bumi berukuran 7.2 Richter yang berlaku pada pukul 6.02 petang waktu Malaysia, 28 September lalu.

Tsunami tiba lapan minit selepas gempa terjadi sehingga penduduk di Palu bertempia­ran menyelamatkan diri. Siapa sangka Palu akan musnah dalam sekelip mata akibat malapetaka.

Ketua Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika Indonesia (BMKG), Dr. Daryono menerangkan dari sudut geologi, Indonesia berpotensi berlakunya gempa bumi kerana kedudukannya berada di tiga plat tektonik besar (plat yang membentuk permukaan bumi untuk mencari kedudukan yang lebih stabil) iaitu Eurasia, Indoaustralia dan Pasifik.

Jelasnya lagi, sekitar 200 ta­bu­ran jalur gempa aktif telah dikenal pasti dan lebih banyak lagi dipercayai berada di negara itu maka tidak hairanlah lebih 10 gempa bumi boleh berlaku dalam tempoh satu hari.

Jika dilihat, sebelum ini, gem­pa bumi yang mencetuskan tsunami berlaku di Acheh pada 2004 dan di Padang pada 2009.

Antara jalur gempa aktif adalah jalur Sumatera yang dibahagikan kepada Acheh ke Lampung, dengan jalur gempa aktif antaranya di Jawa, Lembang, Jogjakarta, di utara Bali, Lombok, Sulawesi dan Kalimantan.

Sementara itu, Pakar Geologi dari Lembaga Ilmu Pengetahuan Indonesia (LIPI), Danny Hilman Natawidjaja berkata, kedudukan Indonesia yang ter­letak dalam Lingkaran Api se­ring akan mengalami gempa bumi dan gegaran gunung berapi melingkungi Lautan Pasifik.

“Jika kita lihat di seluruh dunia, kita dapati Indonesia berada dalam kawasan merah berban­ding negara lain. Jepun, juga turut merah, Filipina juga,” ujarnya.

Tidak hairanlah, ketika Palu dilanda gempa bumi sehingga mencetuskan tsunami, Jepun turut mengalami nasib yang sama sebulan lalu apabila dilanda gempa bumi berukuran 6.6 Richter pada September lalu sehingga melumpuhkan Pulau Hokkaido, menyebabkan semua perkhidmatan pengangkutan uda­ra, darat dan air dihentikan buat sementara waktu dan bekalan elektrik terputus.

Selain itu, gempa bumi sekuat 5.7 Richter turut menggegar Oki­nawa di selatan Jepun, namun tidak mencetuskan amaran tsunami.

Papua New Guinea pada masa sama turut dilanda dua gempa bumi dengan masing-masing berukuran 7.0 dan 6.2 Richter di New Britain sehingga mencetuskan amaran tsunami yang kemudian ditarik balik oleh pihak berkuasa.

Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) memberitahu, gempa bumi itu berlaku kira-kira 125 kilometer di timur Kimbe pada kedalaman 40 kilometer manakala gempa kedua berlaku kira-kira pukul 6.28 pagi waktu tempatan.

Sementara itu di Rusia, satu gempa bumi berukuran 6.8 Richter menggegar kawasan terpencil selatan Pulau Kuril, na­mun tiada amaran tsunami dikeluarkan.

Kesemua bencana gempa dan tsunami yang melanda baru-baru ini dapat dirumuskan akibat bumi sedang tenat, memang benar bencana adalah sesuatu yang kompleks dan terlihat sebagai fenomena semula jadi.

Begitu pun, peningkatan bencana ini menjadi tanda tanya kepada masyarakat dunia, apakah punca jumlah ‘kemusnahan’ ini semakin meningkat dan akan terus meningkat. Namun kini, ia banyak dikaitkan dengan aktiviti manusia yang membawa kepada perubahan drastik terhadap sifat semulajadi alam.

Adakah aktiviti manusia yang menggunakan sumber alam secara rakus tanpa kawalan atau peringatan Tuhan agar tidak berasa terlalu selesa sehingga alpa de­ngan duniawi.