Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) memberitahu, gempa kuat berukuran 5.9 pada skala Richter itu berpusat di barat laut Pulau Lombok ketika pasukan penyelamat masih bergelut untuk mencari mangsa terselamat daripada sisa runtuhan ba­ngunan.

Jurucakap agensi bencana nasional, Sutopo Purwo Nugroho berkata, gegaran itu antara yang terkuat daripada 355 gempa susulan yang melanda pulau tersebut sejak Ahad lalu.

Menurut wartawan AFP, ­mangsa yang berada di pusat pemindahan terpaksa berlari ke kawasan selamat sambil menangis dan menjerit manakala dinding beberapa bangunan berhampiran runtuh.

Seorang wanita yang masih memakai topi keledar dirakam menangis bersama dua anaknya yang berada dalam pelukannya.

“Kami terkandas dalam aliran trafik semasa menyampaikan bantuan sebelum secara tiba-tiba kereta yang kami naiki seperti dilanggar sesuatu daripada belakang dengan agak kuat.

“Orang ramai mula panik dan keluar dari kereta masing-masing berlari menuju arah berbeza di tengah-tengah aliran trafik,” kata seorang saksi, Sri Laksmi.

Gempa susulan itu berlaku selepas gempa 6.9 pada skala Richter sebelum ini mengakibatkan apa yang menurut agensi bantuan sebagai menghancurkan kese­luruhan kampung di bahagian utara dan barat Pulau Lombok.

Sutopo berkata, sebanyak 319 orang disahkan maut dalam gempa itu dengan 1,400 lagi cedera parah ketika lebih 270,000 penduduk dipindahkan.

Agensi berita Antara me­laporkan malam tadi 347 orang terbunuh akibat gempa itu namun Sutopo menegaskan ang­ka itu tidak lengkap dan tidak disahkan.

Namun katanya, angka kematian telah meningkat dengan mendadak tanpa mendedahkan butiran lanjut.

Pihak berkuasa tempatan, kumpulan bantuan antarabangsa dan kerajaan mula menyela­raskan bantuan, namun keadaan jalan rosak melambatkan usaha bagi menangani nasib mangsa terselamat di kawasan pergunu­ngan utara Lombok.

Menurut pegawai tempatan, bantuan mula sampai di kawasan terpencil namun kebanyakan mang­sa masih kekurangan bekalan asas.

Di beberapa kawasan di utara Lombok, mangsa terselamat dilihat berdiri di bahu jalan raya dengan memegang kotak kadbod meminta derma dan makanan.

“Kami masih menunggu penilaian daripada beberapa kawasan terpencil di utara pulau, namun agak jelas gempa Ahad lalu membawa kemusnahan dahsyat. Saya telah melawat beberapa kampung semalam yang ke­semuanya musnah,” kata Ketua Palang Merah di Lombok, Christopher Rassi. – AFP