Keputusan itu juga menyaksikan penggubal undang-undang Jepun daripada parti pemerintah dan pembangkang mengenepikan perbezaan politik masing-masing dalam usaha melaksanakan usaha pembinaan semula secepat mungkin.

Bagaimanapun, penganalisis memberi amaran, tindakan meluluskan bajet tersebut tidak akan meredakan tekanan ke atas Perdana Menteri, Naoto Kan yang berhadapan kritikan berhubung cara kerajaan mengendalikan krisis gempa bumi dan nuklear yang berlarutan.

Bajet tersebut meliputi kerja-kerja pemulihan seperti pembersihan serpihan dan runtuhan bangunan serta pembinaan rumah sementara bagi beribu-ribu penduduk yang kehilangan tempat tinggal.

Sementara itu, pengendali loji tenaga nuklear Fukushima, Tokyo Electric Power Co. (TEPCO) hari ini berkata, pihaknya merancang untuk membina satu tembok sebagai perlindungan sekiranya tsunami berlaku lagi.

Menurut laporan media yang memetik pegawai TEPCO, pengendali loji berkenaan berhasrat membina tembok setinggi dua meter dan sepanjang 500 meter diperbuat daripada batu dan jaringan dawai.

TEPCO berkata, selain itu pihaknya akan menambah jumlah kakitangan daripada 1,000 kepada 3,000 orang di loji tersebut untuk mengendalikan krisis tersebut bagi mengurangkan risiko pendedahan kepada radiasi. - AFP