Menurut laporan media tempatan, gempa bumi itu berpusat di Cipatujah, barat Kepulauan Jawa dan gegaran dapat dirasai sehingga ke ibu kota Jakarta.

Jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Indonesia, Sutopo Purwo Nugroho berkata, warga emas berusia 62 tahun itu maut ketika terperangkap di dalam kediamannya yang runtuh di Ciamis, Jawa Barat.

Tidak dapat dipastikan jumlah kematian lain namun sekurang-kurangnya lima cedera dalam kejadian itu.

Sutopo memberitahu, terdapat beberapa laporan bangunan runtuh di Tasikmalaya dan beberapa daerah lain.

MetroTV melaporkan, sebuah hospital awam di Banyumas, tengah Jawa rosak teruk dan pesakit terpaksa dipindahkan ke kawasan selamat.

Seorang penduduk Jakarta, Web Warouw yang mendiami tingkat 18 sebuah pangsapuri berkata, gegaran kuat dapat dirasai selama beberapa saat dan membuatkan orang ramai turun menyelamatkan diri.

Penduduk di sekitar perairan Cilacap juga dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga ekoran khuatir berlakunya tsunami. - AGENSI