Jurucakap Pertubuhan Pengurusan Bencana Kebangsaan Iran, Behnam Saeedi berkata, di Iran sahaja sekurang-kurangnya 407 orang terkorban dan lebih 6,600 lagi cedera.

Para pegawai berkata, jumlah mangsa yang terkorban dijangka meningkat apabila kumpulan mencari dan menyelamat tiba di kawasan pedalaman Iran.

Gegaran turut dirasai di beberapa wilayah di Iran seperti Kordestan, Ilam, Khuzestan, Ha­me­dan, barat dan timur Azerbaijan, Lorestan, Qazvin dan Zanjan namun gegaran paling kuat melanda wilayah Kermanshah yang telah mengumumkan hari berkabung selama tiga hari.

Penduduk di tenggara bandar Diyarbakir, Turki turut merasai gegaran di kawasan mereka manakala media Israel juga melaporkan gegaran dirasakan di beberapa bahagian negara itu.

Beberapa negara lain seperti Kuwait, Armenia, Jordan, Lebanon, Arab Saudi, Qatar dan Bahrain turut merasai gegaran.

Lebih 142 mangsa berada di bandar Sarpol-e-Zahab di Kermanshah yang terletak kira-kira 15 kilometer dari sempadan Iran-Iraq.

Ketua Perkhidmatan Kecemasan Iran, Pirhossein Koulivand berkata, hospital utama di bandar itu musnah teruk dan tidak mampu merawat beratus-ratus mangsa yang cedera yang dibawa ke hospital berkenaan.

Seorang pegawai meteoro­lo­gi Iraq melaporkan, gegaran berukuran 6.5 Richter berlaku di bandar Darbandikhan, wilayah Sulaimaniyah dan Penjwin, Kur­dis­tan yang terletak berhampi­ran sempadan Iran.

Pegawai kesihatan Kurdis melaporkan, sekurang-kurangnya enam orang terkorban dan 68 lagi cedera di Iraq.

Bekalan elektrik terputus di beberapa bandar di Iran dan Iraq manakala penduduk di kedua-dua negara yang bimbang de­ngan kejadian itu bertindak keluar ke jalan raya dan taman dalam keadaan cuaca yang sejuk.

Pusat Seismologi Iran merekodkan sebanyak 50 gegaran susulan dan dijangka lebih banyak gegaran sama akan berlaku.

Persatuan Bulan Sabit Merah Iran melaporkan, lebih 70,000 penduduk memerlukan bantuan tempat tinggal.

Sementara itu Pre­si­den Iran, Hassan Rouhani telah me­ngarahkan Menteri Dalam Negeri, Abdolreza Rahmani-Fazli mengambil langkah se­­gera bagi membantu mangsa gempa tersebut.

Abdolreza berkata, bebe­ra­pa jalan te­lah disekat ma­nakala pasukan tentera Iran te­lah dikerah un­tuk membantu mang­sa.

Pada 26 Disember 2003 gempa bumi berukuran 6.6 Richter melanda bandar bersejarah Bam yang te­letak kira-kira 1,000 kilo­me­ter di tenggara Teheran, Iran menyebabkan 31,000 orang terkorban. – Agensi