Selain di Indonesia, Papua New Guinea dan Rusia turut digegarkan dengan kejadian gempa bumi, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.

Gempa bumi di perairan luar pantai Bali dan Jawa mengejutkan penduduk yang sedang tidur dan berlari menyelamatkan diri.

Hampir 30 orang penduduk dilapor cedera ketika sebahagian daripada peserta mesyuarat tahunan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia di Bali turut mengosongkan hotel mereka akibat gegaran.

“Saya dapat merasakan gegaran selama 30 saat dan panik, menyebabkan saya berlari keluar,” kata seorang peserta persidangan, Katharina Sudiyono.

Ketua pasukan petugas IMF-Bank Dunia dari Bank Pusat Indonesia, Peter Jacobs berkata, perwakilan di daerah Nusa Dua di Bali yang menghadiri persidangan itu cepat memaklumkan situasi semasa.

Ketua agensi geofizik Indonesia, Dwikorita Karnawati berkata, gempa di perairan Bali itu tidak mencetuskan tsunami ketika tiga orang penduduk di Jawa Timur terbunuh akibat dihempap bangunan semasa sedang tidur.

Sekurang-kurangnya 210 buah rumah di daerah Sumenep rosak akibat gempa manakala 27 orang cedera di daerah Sampang dengan 36 buah rumah rosak di lapan buah kampung.

“Semua orang panik dan seluruh penduduk kampung berlari keluar ke jalan raya. Kami tidak pernah mengalami gempa dengan kekuatan seperti itu,” kata seorang penduduk, Zainurrohman.

Papua New Guinea pada masa sama turut dilanda dua gempa bumi dengan masing-masing berukuran 7.0 dan 6.2 pada skala Richter di New Britain sehingga mencetuskan amaran tsunami yang kemudiannya ditarik balik pihak berkuasa.

Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) membe­ritahu, gempa bumi itu berlaku kira-kira 125 kilometer timur Kimbe pada kedalaman 40 kilometer manakala gempa kedua berlaku kira-kira pukul 6.28 pagi waktu tempatan.

Sementara itu di Rusia, sa­tu gempa bumi berukuran 6.8 pada skala Richter meng­gegarkan kawasan ter­pencil selatan Pu­lau Kuril, namun tiada amaran tsunami dikeluarkan. – AFP/REUTERS