Menurut Jabatan Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa bumi berukuran 5.3 skala Richter itu berlaku pada kedalaman 15.4 kilometer pada pukul 7.58 pagi berhampiran Osaka.

Media melaporkan bahawa kanak-kanak perempuan itu terbunuh akibat terperangkap dalam bangunan sekolah yang runtuh di bandar Takatsuki di utara Osaka.

Agensi meteorologi Jepun pula memaklumkan bahawa tiada risiko tsunami direkodkan setakat ini.

Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe memberitahu wartawan bahawa kerajaan akan mengambil segala tindakan yang perlu dan keutamaan diberikan kepada usaha menyelamatkan nyawa penduduk.

Beliau berkata, semua petugas telah diberi arahan untuk mendapatkan maklumat lengkap berhubung kerosakan dan menumpukan kepada usaha menyelamatkan nyawa, selain membekalkan maklumat lengkap, tepat dan pantas bagi disebarkan kepada orang ramai. – AFP