Eric Hooper, 72, berkata, idea untuk mencipta gelongsor itu timbul selepas dia merasa amat kecewa melihat liputan berita kebakaran di Grenfell Tower yang menyebabkan 80 orang terkorban.

Katanya, gelongsor itu sesuai dipasang di mana-mana bangunan dan memberi alternatif kepada mangsa untuk menyelamatkan diri jika tangga kecemasan dipenuhi asap tebal dan serpihan bangunan.

Lapor portal Daily Mail, Hoo­per yang bertugas sebagai pe­ngurus pereka dan jurugegas, per­nah bertugas dalam industri perlombongan selepas berpindah ke Australia pada tahun 1977.

“Ketika bekerja dalam industri perlombongan, peralatan yang digunakan sangat besar justeru kami menghadapi masalah untuk membawa masuk atau keluar mesin terutama semasa berlaku kebakaran,” katanya.

Beliau berkata, gelongsor ber­kenaan menyokong tubuh pengguna daripada paras pinggang dan kelajuan menuruni gelongsor itu dikawal dengan cara menekan pada kedua-dua bahagian tepi gelongsor terbabit.

“Sistem ‘pelbagai masuk’ juga boleh dipasang di setiap tingkat bangunan termasuk cembung seperti The Gherkin dan apa juga sistem yang dipasang di Grenfell, ia mampu memberi pelu­ang kepada seramai 20 sehingga 25 mangsa menyelamatkan diri dalam tempoh seminit,” ujarnya.

Menurut Hooper, reka bentuk gelongsor itu telah pun memperoleh kontrak pertahanan awam di Dubai dan digunakan sebagai asas bagi mengawal dan mema­dam ke­bakaran di bangunan tinggi.

Harga bagi sebuah sistem gelongsor itu adalah antara 7,500 pound (RM42,515) sehingga 150,000 pound (RM850,307) mengikut ta­hap kesukaran bangunan dan bo­leh dibina khas untuk bangunan pencakar langit.