Detik News melaporkan, Ketua Pusat Data dan Informasi dan Hubungan Masyarakat BNPB, Sutopo Purwo Nugroho memberi amaran kepada orang ramai supaya menjauhi atau tidak melakukan sebarang aktiviti di kawasan pantai.

“Kita khuatir kemungkinan akan ada tsunami susulan kerana Gunung Berapi Anak Krakatau di Selat Sunda masih lagi meletus,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Bagaimanapun kata Sutopo, Pusat Gempa Bumi dan Tsunami di Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika Indonesia (BMKG), Badan Geologi, Agensi Penilaian dan Pelaksanaan Teknologi (BPPT) dan Kementerian Laut dan Perikanan Indonesia (KKP) masih mengenal pasti punca kejadian.

Sementara itu, Ketua BMKG, Dwikorita Karnawati dalam satu sidang akhbar seperti dipetik oleh Kompas.com, menjelaskan gelombang tinggi yang melanda wilayah Banten dan Lampung semalam seakan-akan kejadian yang berlaku di Palu, September lalu.

Beliau memberitahu, berdasarkan corak gelombangnya yang pendek, ia adalah seakan-akan sama seperti di Palu yang mengorbankan kira-kira 2,000 nyawa.

Dwikorita juga menyangkal dakwaan mengaitkan kejadian tsunami berketinggian 0.9 meter itu dengan letusan Gunung Berapi Anak Krakatau yang berlaku semalam.

“Bagaimanapun, esok kita akan mengumpul lebih banyak data lagi untuk mengetahui sama ada kejadian itu ada kaitan dengan tanah runtuh atau sebaliknya,” katanya.

Sebelum ini, ada pihak mengaitkan tsunami itu kemungkinan tercetus akibat gelombang air pasang surut tidak normal dan tanah runtuh bawah air susulan letupan Gunung Berapi Anak Krakatau.

Namun Dwikorita memberitahu, ombak terhempas mungkin lebih tinggi daripada apa yang direkodkan kerana terdapat beberapa kawasan di Selat Sunda yang mempunyai morfologi teluk seperti di Palu. – AGENSI