Mail Online yang memetik laporan Business Insider me­laporkan, purata orang dewasa memerlukan antara tiga hingga empat liter air sehari namun buah pinggang hanya boleh memproses satu liter air dalam satu jam.

Menurut laporan itu, oleh kerana tiada tempat lain, cecair berlebihan itu disimpan di dalam sel-sel badan dan meng­akibatkannya membengkak.

Proses ini yang dikenali sebagai ‘mabuk air’ menurunkan paras natrium dalam darah dan menjadikan lebih sukar bagi tubuh manusia untuk mengawal tekanan darah.

Bengkak di dalam badan boleh dikawal jika lebihan air itu 'disimpan' dalam lapisan otot atau lemak tetapi jika memasuki dalam otak, ini boleh mengakibatkan masalah kesihatan yang serius kerana struktur yang tidak fleksibel.

Gejala mabuk air termasuk sakit kepala, kekeliruan atau mengantuk, tetapi jika tekanan meningkat, pesakit mungkin mengalami kerosakan otak, koma dan dalam kes-kes yang teruk membawa maut.

Oleh itu, doktor mengesyor­kan agar individu supaya memeriksa warna air kencing untuk menentukan tahap penghidratan lebih baik.

Seorang ahli diet berdaftar di Pusat Perubatan Wexner, Ohio State University, Liz Weinandy mencadangkan paras kandu­ngan air sesuai dalam badan ditentukan menerusi warna air kencing iaitu warna lemon cerah.

Pelari maraton digalakkan memantau berapa banyak me­reka minum selepas kajian mendapati bahawa satu daripada enam pelari maraton mempu­nyai simptom mabuk air ringan.

Larian memberi tekanan kepada badan dan badan tidak menyingkirkan air dengan cekap.