Derek McLennan yang bekerja sebagai pengesan bahan besi menemukan harta karun berusia ribuan tahun yang terdiri daripada gelang dan kerongsang perak, sebentuk cincin, salib dan pin emas berbentuk burung di barat Scotland pada 2014.

Dia kemudian menyerahkan kesemua artifak itu kepada The Queen’s and Lord Treasurer’s Remembrancer (QLTR) yang memutuskan artifak itu perlu ditempatkan di Muzium Negara Scotland (NMS) untuk dipamerkan dan turut memberi ganjaran kepada McLennan.

Menurut laporan portal Daily Mail, nilai ganjaran itu diputuskan berdasarkan nilai pasaran artifak yang ditemukan.

Peraturan di Scotland menggariskan individu yang menemukan artifak akan diberi ganjaran berbanding beberapa kawasan lain di UK yang berkongsi ganjaran bersama-sama pemilik tanah.

Ketua QLTR, David Harvie menyifatkan ‘khazanah Galloway’ itu mempunyai kepentingan antarabangsa dan merupakan antara penemuan paling penting.

Pengarah NMS, Dr. Gordon Rintoul berkata, pihaknya mempunyai masa enam bulan untuk mengumpul wang ganjaran itu bagi memiliki artifak tersebut selain memastikan generasi akan datang dapat menyaksikannya.

Khazanah paling besar adalah barangan kemas perak selain beberapa barangan besi dan permata yang berharga termasuk jongkong emas yang jarang ditemukan, manik, cawan bersadur perak yang dipercayai berasal daripada empayar Byzantine.

Kata Rintoul, penemuan lain di Britain atau Ireland lazimnya berupa satu jenis bahan sahaja tetapi khazanah Galloway itu adalah ‘unik’ kerana membawa bersama pelbagai objek yang memberi petunjuk ‘hubungan lama yang tidak diketahui’ antara penduduk di seluruh Eropah pada abad ke-10.

Kumpulan kempen Khaza­nah Viking Galloway sebelum ini menggesa artifak itu dipamerkan di barat daya Scotland, kawasan penemuannya.