Jurucakap kementerian, Khaled Abalkhail berkata, ganjaran itu selaras dengan undang-undang buruh yang memberi hak kepada menteri, kuasa memberi hadiah kepada rakyat yang membantu kakitangan pemeriksaan kementerian dalam memantau kesalahan majikan.

Menurutnya, sistem yang berkuat kuasa itu memboleh­kan pekerja membuat aduan menerusi aplikasi Maan Monitoring yang bertujuan meningkatkan kecekapan dan tanggungjawab kementerian dengan sokongan masyarakat.

Aplikasi yang hanya boleh didapati di Arab Saudi itu juga menggalakkan masyarakat memainkan peranan dalam memantau dan membantu pihak berkuasa menangani masalah dalam pasaran buruh khasnya enam kesalahan oleh majikan.

“Enam kesalahan itu adalah menjual atau mengganggu urusan visa, buruh bekerja di bawah terik matahari, cuaca buruk dan larangan bekerja oleh kementerian, majikan mendaftarkan ke­rakyatan Arab Saudi dalam kalangan pekerja tanpa pengetahuan dan persetujuan mereka.

“Selain itu, majikan tidak boleh mengambil rakyat asing dalam pekerjaan khas untuk warganegara, mengupah lelaki melakukan kerja wanita dan mencampuri pengambilan pekerja tanpa kelulusan kementerian,” katanya kepada Arab News.

Ujar beliau, ganjaran itu akan diberikan berdasarkan sistem bonus iaitu hadiah adalah sebahagian daripada denda sejurus majikan membayar penalti yang dikenakan.

Bagaimanapun beliau menambah, untuk mendapat ganjaran itu, setiap pekerja perlu mematuhi beberapa kriteria yang ditetapkan antaranya aduan perlu dibuat menerusi aplikasi Maan Monitoring dan laporan itu perlu tepat.