Menurut portal berita Mail Online, angkasawan Amerika Syarikat (AS) itu mengambil gambar potret dirinya buat pertama kali di ruang angkasa semasa misi Gemini 12 pada bulan November 1966.

Gambar tersebut menunjukkan Aldrin yang kini berusia 87 tahun, mengangkat penutup muka topi keledarnya, menampakkan dahi dan matanya dengan latar belakang pemandangan biru bumi yang disifatkan amat ‘menakjubkan’.

Aldrin dilaporkan menghabiskan masa lima setengah jam di luar kapal angkasa dan turut sempat mengambil gambar bintang-bintang ketika melengkapkan misi berkenaan.

Gambar berukuran 25 sentimeter itu telah dimiliki oleh seorang pengumpul gambar vintaj dari misi Gemini Agensi Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik (NASA) sejak dibeli pada tahun 2015.

Individu yang enggan dikenali itu dilaporkan telah memutuskan untuk meletakkan gambar ber­kenaan di pasaran dan dijangka menjualnya dengan harga permulaan sebanyak 1,200 pound (RM6,795) pada lelongan yang akan diadakan 14 September ini.

Pakar Lelongan­ Bloomsbury di Lon­don, Valentina Bor­ghi yang akan membantu menjual gambar tersebut berkata, misi Gemini pada masa ini lebih popular berbanding misi Apollo kerana mereka yang terlibat dilihat sebagai perintis penerokaan ruang angkasa.

“Gambar ini ber­asal dari penjual peribadi yang bapanya mempunyai koleksi 50 foto misi Gemini. Ia mempunyai kod di atasnya yang menandakan bahawa ia disimpan dalam arkib NASA yang meningkatkan nilainya.

“Ia adalah swafoto ruang ang­kasa pertama dalam sejarah dan apa-apa yang berkaitan dengan misi Gemini sangat dicari oleh pengumpulnya,” jelas Borghi.