Qatar sebelum ini mahukan dialog diadakan bagi menyelesaikan kemelut berkenaan manakala Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dilaporkan telah berhubung dengan rakan sejawatnya dari Mesir, Abdel Fattah al-Sisi untuk menggesa semua pihak ‘mengadakan rundingan yang membina’.

Menteri Luar Mesir, Arab Saudi, Bahrain dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) yang bertemu di Kaherah semalam mengakui mereka berasa kecewa dengan tindak balas negatif dari Qatar.

“Maklum balas Qatar terhadap syarat yang dikenakan tidak memuaskan dan mencerminkan kekurangan pemahamannya tentang situasi sebenar,” jelas Menteri Luar Mesir, Sameh Shoukry.

Menteri Luar kesemua negara itu mengadakan pertemuan di Kaherah semalam, bagi membincangkan tentang tindakan susulan selepas tamatnya tarikh akhir untuk Doha menunaikan 13 tuntutan yang dikemuakan.

Tuntutan tersebut termasuk Qatar perlu memutuskan hubungan dengan Iran, menutup pangkalan tentera Turki di negara itu, menutup operasi media Al-Jazeera dan menghentikan sokongan terhadap kumpulan Ikhwanul Muslimin.

Kesemua negara yang mengenakan sekatan terhadap Qatar, bagaimanapun tidak mengumumkan sebarang sekatan baharu ke atas Qatar tetapi Menteri Luar Arab Saudi, Adel al-Jubeir pada sidang media itu berkata, sekatan politik dan ekonomi akan diteruskan hingga Qatar menukar dasarnya seperti mana yang dikehendaki mereka.

Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Al-Thani, menyerahkan maklum balas rasmi tuntutan berkenaan kepada Kuwait kelmarin, selaku pengantara pertelingkahan namun kan­dungannya tidak didedahkan.

Al-Thani dalam sidang media menegaskan bahawa senarai tuntutan empat buah negara tersebut sebagai tidak realistik dan sukar dilaksanakan selain menutup kebebasan bersuara negara itu.– AFP