Guterres yang menyarankan demikian kepada 15 anggota Majlis Keselamatan PBB (UNSC) turut mendesak Myanmar menghentikan operasi ketenteraan dan membuka laluan kemanusiaan ke wilayah barat negara itu yang sedang bergolak.

“Keadaan tersebut telah lama berlegar dan menjadi krisis pela­rian paling pantas berlaku, mimpi ngeri bagi hak asasi manusia dan kemanusiaan,” katanya selain menggesa agar pelarian itu dibenarkan pulang ke Myanmar.

Beliau turut menegaskan, ‘ke­ganasan bersistematik’ boleh me­­­­nyebabkan pemberontakan me­­­­­­re­bak ke bahagian tengah wi­layah Rakhine dan mengancam 250,000 lagi etnik Rohingya me­ninggalkan kediaman masing-masing.

Ini merupakan mesyuarat kali pertama sejak lapan tahun lalu yang diadakan oleh negara anggota UNSC tentang Myanmar tetapi mereka masih gagal mencapai resolusi bersama.

Semalam, lebih 19 pelarian Rohingya mati lemas selepas bot yang dinaiki karam di luar pantai Bangladesh ketika cuba menyeberangi sempadan Myanmar.

Salah satu kritikan paling kuat datangnya dari wakil Amerika Syarikat (AS), Nikki Haley yang menuduh pihak berkuasa Myanmar telah mencetuskan ‘kekejaman, mengekalkan kempen untuk menghapuskan etnik minoriti’.

“Krisis ini sepatutnya memalukan pemimpin-pemimpin kanan Myanmar yang telah banyak berkorban untuk mewujudkan negara Myanmar yang demokratik dan terbuka,” katanya.

Haley juga menegaskan, pertumpahan darah di negara itu juga patut memalukan pemim­pinnya, Aung San Suu Kyi malah pasukan tentera negara itu perlu berdepan dengan tindakan glo­bal ekoran keganasan yang dilakukan.

“Tempoh untuk bersangka baik, kata-kata diplomatik dalam majlis ini telah berlalu. Kita perlu menimbangkan tindakan terha­dap pasukan tentera Myanmar yang mencetuskan keganasan dan kebencian dalam kalangan rak­yatnya,” katanya.

Walau bagaimanapun Myanmar mendapat sokongan kuat dari Rusia dan China, yang merupakan sekutu rapat dan rakan dagang utama.

Sementara itu, Penasihat Ke­se­­lamatan Negara Myanmar, Thaung Tun semasa mesyuarat itu menafikan laporan tentang penghapusan etnik terhadap Rohingya.

Beliau berkata, laporan itu ada­lah ‘subjektif dan dibuat atas dasar emosi’.

“Kami menyedari tentang situa­si serius itu yang perlu diberi perhatian namun kita juga perlu menyedari bahawa keganasan yang berlaku baru-baru ini dicetuskan melalui serangan Tentera Pembebasan Rohingya Arakan (ARSA),” katanya. – AGENSI