Metro.co.uk melaporkan, walaupun gagak diketahui sebagai satu daripada spesies burung yang pintar di dunia, unggas itu bertindak terlalu berani apabila menggunakan paruhnya mencabut bulu panda terbabit di bahagian paling sensitif iaitu di punggung haiwan tersebut.

Jelas, gagak amat menggemari elemen terbaik apabila menjadikan bulu panda tersebut sebagai bahan dalam pembinaan sarangnya berbanding ranting dan pasir sebelum ini.

Oleh kerana menyedari haiwan kebangsaan China itu tidak menyedari perbuatannya, gagak itu mula terbang beberapa kali membawa bulu panda terbabit ke sarangnya di sebatang pokok berhampiran.

Pelancong dan pengunjung Zoo Beijing nyata terhibur de­ngan aksi burung itu dan tidak terkecuali pengguna media sosial China.

Sementara itu di portal Huanqiu.com, sarang burung gagak itu dinamakan sebagai ‘Hermes’ selepas menganggap burung berke­naan membina sarang burung paling mewah jika dibandingkan dengan unggas lain.

Seorang pengguna yang menggunakan nama Yuanyuandixiaoza berkata: “Menggunakan bulu haiwan kebangsaan China? Burung gagak ini perlu menyimpan sarangnya untuk beberapa tahun lagi!”.