Dalam aksi berbahaya yang dilakukan di Chirala Mandal baru-baru ini, Bhramharaba Budati membenarkan suaminya, Balashankar Budati untuk membelah sebiji buah kelapa yang diletakkan di lehernya menggunakan parang yang tajam dan besar.

Aksi berkenaan boleh mengundang maut kepada Bhramharaba jika suaminya tersalah langkah membelah kelapa berkenaan.

Kebiasaannya, Balashankar me­libatkan isterinya dalam aksi berbahaya menggunakan api, tetapi kali ini mereka mempamerkan keberanian dan kepercayaan yang luar biasa untuk melakukan aksi itu.

Malah menurut laporan portal berita Mail Online, pasangan suami isteri itu dijemput mewakili India untuk menunjukkan bakat mereka pada pembukaan episod program mencari bakat, World’s Most Talen­ted yang melibatkan pertandingan antara negara untuk mempamerkan bakat masing-masing bermula 31 Mac ini.

India akan bertemu Romania pada pembukaan program itu yang menetapkan kualiti daripada segi kelajuan, kekuatan, dan aksi berani sebagai ciri-ciri untuk bergelar juara.

Rakaman peserta melakukan aksi berbahaya tersebut akan ditayangkan melalui 100 laman web perkongsian video untuk ditonton dan diadili di seluruh dunia bagi mencari negara mana yang layak memegang gelaran World’s Most Talented.