Portal berita BBC melaporkan, bahan fosil berupa filamen kecil, tombol dan tiub itu ditemui oleh pasukan penyelidik di kawasan batuan gunung berapi Nuvvua­gittuq Supracrustal Belt di Kanada.

Ketua Pasukan penyelidik ter­sebut, Matthew Dodd yang meng­analisis struktur tersebut di University College London, United Kingdom (UK) mendakwa penemuan itu akan memberikan maklumat baharu tentang asal-usul kehidupan di bumi.

“Para saintis berjaya menemukan mikrob dari Quebec yang hanya bersaiz satu persepuluh lebar rambut manusia dan me­ngandungi kuantiti besar hematit serta ferum oksida atau karat.

“Kami merasa sangat teruja memperoleh fosil tertua di bumi ini dan akan berusaha membongkar rahsia hidupan dan pembentukan bumi menerusi penemuan berharga ini,” katanya kepada laman web BBC News.

Menurut Dodd, pasukan penyelidik terpaksa menggunakan beberapa kaedah termasuk pengimejan laser bagi menganalisis jenis mineral yang terkan­dung dalam bahan orga­nik ber­kenaan.

Kajian terbaharu yang diterbitkan dalam jurnal Nature itu turut mendapat kerjasama pa­sukan kaji bumi Norway, anggota kajian geologi Amerika Syarikat (AS), dan pakar penyelidik dari University Of Ottawa.