Portal Mail Online melaporkan, penemuan menakjubkan itu menunjukkan kepala, leher, sayap, ekor dan kaki burung itu terbentuk pada batu berkenaan.

“Itu adalah penemuan paling lengkap dan terperinci pernah kami lihat. Melihat sesuatu se­perti ini amat menakjubkan,” kata anggota penyelidik Muzium Diraja Saskatchewan Regina di Kanada, Ryan McKellar.

Fosil tersebut tergolong dalam keluarga burung dikenali sebagai Enantiornithes yang pupus bersama dinosaur kira-kira 66 juta tahun lalu.

“Kami menemukan struktur burung yang tersimpan di dalam amber, merangkumi kebanyakan tulang dan leher, sayap serta kaki dan tisu lembut pada bahagian ekor. Semua ciri-ciri itu merujuk kepada Enantiornithes,” kata para penyelidik dalam jurnal Gondwana Research.

Menurut McKellar, burung tersebut bertelur di atas tanah.

Secara zahirnya, Enantiornithes menyerupai ciri-ciri burung biasa, tetapi mempunyai tulang bahu yang sangat berbeza dan pelik.

Selain itu, penemuan fosil sebelum ini turut memberi petunjuk kepada penyelidik bahawa burung berkenaan dilahirkan dengan sayap besar, menjadikan haiwan tersebut mampu melin­dungi diri sendiri.