Menurut Mail Online, hasil kajian yang dilakukan oleh Universiti Tennessee terhadap fosil buaya prasejarah dari spesies Deltasuchus motherali itu menunjukkan haiwan berkenaan mungkin sepanjang 6.1 meter ketika hayat­nya.

Seorang daripada pengkaji tersebut, Stephanie Drumheller-Horton berkata, buaya tersebut makan apa sahaja di sekitarnya termasuk tumbuh-tumbuhan, kura-kura sehingga dinosaur.

“Deltasuchus merupakan pemangsa teratas di kawasan tersebut dan dipercayai hidup pada 95 hingga 100 juta tahun lalu.

“Beberapa fosil haiwan lain serta tumbuh-tumbuhan dengan kesan gigitan turut ditemukan di kawasan berhampiran dan dipercayai menjadi sumber makanan buaya Deltasuchus,” katanya.

Horton turut memaklumkan bahawa penemuan fosil di bahagian Amerika Utara tidak banyak sejak zaman terakhir kewujudan dinosaur.

Nama spesies buaya itu diambil sempena nama Austin Motheral yang menemukan beberapa fosil buaya prasejarah di Tapak Arkosaur Arlington pada 2009 ketika dia berusia 15 tahun.

Penemuan itu secara tidak langsung memberi gambaran bahawa lebih banyak fosil haiwan prasejarah lain bakal ditemukan di kawasan tersebut yang sebelum ini kaya dengan pelbagai ekologi seperti paya dan sungai.