Menurut pengeluar, Toyoda Gosei, reka bentuk Flesby II dihasilkan bagi melindungi bahagian luar badan kereta daripada sebarang kemalangan selain mengelak pemiliknya terlalu bergantung kepada pemasangan alat ganti pada kereta berkenaan akibat kemala­ngan.

Pegawai Pengurusan syarikat itu, Takashi Ishikawa berkata, bahagian luar kenderaan ultra-kompak itu dipasang dengan beg udara getah lembut generasi baharu yang mampu berubah bentuk melalui gerakan tenaga elektrik dan menyerapkan impak kemalangan.

“Kami memasang beg udara yang lazimnya dipasang dalam kereta, di bahagian luar seperti di bahagian bonet atau pengadang bagi melindungi keseluruhan badan kereta,” katanya.

Bahagian dalam kereta itu turut dipasang dengan bahan yang mempunyai tekstur lembut selain mempunyai lampu LED bagi mencipta ruang yang menenangkan.

Menurut laporan portal Daily Mail, Toyoda Gosei yang merupakan syarikat pengeluar alat ganti automotif plastik dan getah serta LED mendapat idea mereka bentuk konsep kereta berkenaan pada 2013.

Rakaman video semasa pame­ran tersebut menunjukkan panel getah pada Flesby II mengembang dan menguncup seolah-olah kereta ber­kenaan sedang bernafas selain pemasangan lampu pada tayar dan bahagian depan kenderaan.

Cahaya LED yang dipasang pada getah itu juga memberi peluang kepada pemandunya untuk berkomunikasi dengan pejalan kaki dan pemandu kenderaan lain.

“Komunikasi itu berlaku melalui penggunaan fungsi selamat bahagian luar yang lembut yang menye­rap sebarang impak,” jelasnya.

Kereta tersebut masih dalam fasa konsep namun Toyoda Gosei menjangkakan kenderaan itu boleh dipasarkan sekitar 2030.